KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor hari ini mengumumkan pembubaran rasmi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang, sekali gus mengembalikan mandat kepada rakyat untuk menentukan hala tuju masa depan negeri.
Dalam kenyataan menerusi laman Facebook rasminya, Hajiji menegaskan bahawa keputusan tersebut dibuat dengan penuh tanggungjawab dan semangat demokrasi bagi memastikan rakyat Sabah terus menjadi penentu kepada kepimpinan serta dasar pembangunan negeri.
Hajiji mengimbas pencapaian sepanjang lima tahun pentadbiran kerajaan negeri di bawah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), yang menurutnya telah berjaya membawa pembangunan menyeluruh merangkumi pemulihan ekonomi, pemerkasaan infrastruktur dan penambahbaikan kebajikan rakyat.
“Kerajaan telah menumpukan sepenuh usaha kepada pembangunan di bawah pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ). Semua kejayaan ini hanya dapat dicapai melalui kestabilan politik dan kerjasama erat antara kepimpinan dengan rakyat,” katanya.
Dalam kenyataannya, Ketua Menteri turut merakamkan penghargaan kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atas khidmat dan dedikasi mereka sepanjang penggal ini.
“Sekiranya diberi mandat sekali lagi, kami akan terus bekerja lebih kuat untuk rakyat, memperkukuh semua inisiatif yang telah diperkenalkan dan memastikan setiap daerah menikmati kemajuan yang seimbang,” ujarnya.
Mengulas mengenai cabaran masa hadapan, Hajiji menegaskan bahawa fasa baharu pembangunan negeri menuntut penyelesaian berani dan kepimpinan yang stabil.
Beliau berharap keputusan pilihan raya akan datang akan mengukuhkan suara rakyat dan memastikan kesinambungan kemajuan negeri.
“Besar harapan saya agar keputusan pilihan raya kelak akan mengukuhkan suara rakyat, menjaga kestabilan dan keselamatan serta memastikan kemajuan berterusan untuk Sabah tercinta.
“Marilah kita hadapi fasa baharu ini dengan semangat perpaduan dan keyakinan bahawa Sabah akan terus maju, makmur dan stabil di bawah kepimpinan yang menjaga kepentingan rakyatnya,” katanya.






