Teruskan Mandat Kepada GRS Demi Kestabilan dan Kemajuan Negeri – Nizam

Teruskan Mandat Kepada GRS Demi Kestabilan dan Kemajuan Negeri – Nizam

0
SHARE

KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menyeru rakyat Sabah agar terus memberikan mandat kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 bagi memastikan kesinambungan pembangunan dan kestabilan politik negeri.

Seruan itu dibuat susulan pengumuman rasmi pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor, selepas mendapat perkenan Tuan Yang Terutama Tun Musa Aman, Yang di-Pertua Negeri Sabah, hari ini.

Menurut Nizam, sejak mandat diberikan pada Pilihan Raya Negeri ke-16, kerajaan GRS telah menunjukkan keupayaan mentadbir secara bertanggungjawab dan stabil, serta berjaya membina asas pembangunan jangka panjang menerusi pelaksanaan Dasar Sabah Maju Jaya (SMJ).

“GRS berjaya melaksanakan pembangunan seimbang yang merangkumi kemajuan ekonomi, kebajikan rakyat dan kelestarian alam sekitar. Sektor tenaga hijau, pelancongan, pertanian serta perusahaan kecil dan sederhana telah menerima pelaburan baharu yang membuka peluang pekerjaan kepada rakyat,” katanya menerusi satu kenyataan media di sini, hari ini.

Tambah beliau, kerajaan negeri juga melaksanakan pelbagai inisiatif kebajikan rakyat termasuk pembinaan Rumah Mesra SMJ untuk golongan B40 dan pasangan muda, penambahbaikan kemudahan asas luar bandar, serta peningkatan sektor pendidikan dan kesihatan.

“Hubungan erat dengan Kerajaan Persekutuan turut membolehkan lebih banyak peruntukan pembangunan disalurkan ke Sabah, memastikan projek jangka panjang dapat diteruskan secara menyeluruh,” jelasnya.

Nizam menegaskan bahawa kestabilan politik amat penting bagi memastikan dasar dan pelan pembangunan sedia ada dapat diteruskan tanpa gangguan.

“Dengan berakhirnya penggal ini, saya menyeru seluruh rakyat Sabah untuk terus memberi mandat kukuh kepada GRS. Hanya melalui kestabilan politik dan kesinambungan dasar yang terbukti berkesan, kita dapat menjamin masa depan Sabah yang lebih maju dan makmur,” ujarnya.