KOTA KINABALU: Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan, menghormati keputusan lima pemimpin parti itu yang memilih untuk kekal bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Lima pemimpin berkenaan ialah Datuk Ellron Angin (Sook), Datuk Flovia Ng (Tulid), Datuk Annuar Ayub (Liawan), Datuk Robert Tawik (Bingkor) dan Datuk Abidin Madingkir (Paginatan).
Dalam kenyataannya pada Isnin, Jeffrey berkata setiap individu berhak membuat keputusan mengikut pertimbangan dan hati nurani masing-masing, dan beliau tidak terkejut dengan perkembangan itu.
“Dalam hidup saya, saya sering berjalan sendirian. Apa yang penting bukan berapa ramai bersama saya, tetapi sama ada jalan yang dipilih itu benar.
“Saya akan terus berada di jalan perjuangan demi keadilan untuk Sabah,” katanya.
Beliau menegaskan perjuangan STAR bukan berasaskan kedudukan atau keselesaan, sebaliknya berpaksikan maruah, keadilan dan harapan rakyat Sabah yang masih belum dipenuhi.
“Misi saya tidak berubah. Saya akan terus berdiri untuk Sabah dan berkhidmat kepada rakyat dengan jujur dan berani,” tambahnya.
Jeffrey turut menzahirkan penghargaan dan doa kepada mereka yang memilih haluan lain, sambil menegaskan perjuangan untuk masa depan Sabah akan diteruskan.
“Pilihan raya negeri ini akan menjadi medan penentuan sama ada Sabah kekal bergantung kepada Malaya atau berdiri dengan maruah sendiri,” tegasnya.






