
PUTATAN, SABAH – Semua pengerusi dan ahli jawatankuasa masjid dan surau dinasihatkan agar sentiasa memastikan tangki simpanan bekalan air sentiasa mencukupi sepanjang Ramadan ini.
Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Shahelmey Yahya berkata langkah itu penting bagi memenuhi keperluan jemaah yang biasanya akan bertambah pada bulan tersebut.
“Jemaah yang hadir ke masjid dan surau pada bulan Ramadan kebiasaannya akan bertambah bagi menunaikan solat tarawih dan jumlah penggunaan air semestinya akan meningkat.
“Oleh itu, sekiranya level air di tangki masing-masing berada di dalam keadaan yang rendah bolehlah memaklumkan kepada pejabat daerah dan juga pejabat-pejabat pemimpin pembangunan masyarakat bagi mendapatkan bantuan.
“Penduduk juga dinasihatkan untuk sentiasa berhemah dalam penggunaan air seharian dan pihak kerajaan juga akan sentiasa berusaha untuk memastikan bekalan air dalam keadaan mencukupi dari masa ke semasa,”katanya ketika ditemui media pada Program Persediaan Ihya Ramadhan Parlimen Putatan, pada Jumaat.
Dalam pada itu, Shahelmey berkesempatan menyampaikan bantuan persediaan raya berupa bekalan kurma dan sumbangan wang tunai kepada 45 buah masjid dan surau di sekitar Parlimen P.173 Putatan.
Menurut beliau,sumbangan tersebut bertujuan bagi membantu meringankan kos pengurusan dalam menganjurkan aktiviti berbuka puasa serta moreh sepanjang Ramadan ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri N23 Petagas Datuk Awang Ahmad Sah Awang Sahari. — JABATAN PENERANGAN SABAH