KUALA LUMPUR – Satu memorandum kepada Kerajaan telah diserahkan oleh Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menyokong pengenalan akta melarang aktiviti merokok dan pemilikan sebarang produk merokok terhadap generasi muda.
Memorandum tersebut bagi bertujuan untuk menyokong pengenalan akta baharu bertujuan melarang aktiviti merokok dan pemilikan sebarang produk merokok terhadap generasi muda atau dikenali sebagai Generational End Game.
Memorandum itu diserahkan Timbalan Pengerusi II Pemadam, Juliana Rosmidah Jaafar kepada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan beberapa Ahli Parlimen lain termasuk Ahli Parlimen Port Dickson yang juga Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii, di bangunan Parlimen pada Khamis, lapor Bernama.
Antara NGO yang turut menyokong ialah Pertubuhan Green Lung Malaysia, Persatuan Kesihatan IKRAM Malaysia dan Persatuan Farmasi Malaysia.
Pada 17 Februari lepas, Khairy memaklumkan satu akta baharu akan diperkenalkan bagi melarang aktiviti merokok dan pemilikan sebarang produk merokok termasuk rokok elektronik (vape) terhadap generasi muda yang lahir selepas 2005 atau dikenali sebagai Generational End Game.