JBPM Siap Sedia Hadapi Musim Kering

JBPM Siap Sedia Hadapi Musim Kering

0
SHARE
Hisham
Nor Hisham ketika ditemui media ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersiap sedia menghadapi musim kering.

Ketua Pengarahnya, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, untuk tujuan itu, beberapa arahan siap siaga dikeluarkan oleh ibu pejabat kepada JBPM negeri.

“Sabah dijangka akan melalui musim kering lebih daripada kadar dua tahun lepas dan berterusan hingga hujung Mac.

“Beberapa arahan dikeluarkan kepada JBPM negeri antaranya meliputi isu logistik iaitu kelengkapan pasukan, aspek kewangan dan mobilisasi pasukan yang kini dipertanggungjawabkan kepada kuasa JBPM negeri untuk membuat keputusan.

“Selain itu, JBPM juga bekerjasama dengan beberapa agensi seperti Jabatan Meteorologi bagi mendapatkan ramalan awal cuaca, Jabatan Pengairan dan Saliran bagi kebenaran menggunakan pam berkapasiti besar dan Jabatan Alam Sekitar untuk penguatkuasaan undang-undang serta mengawal aktiviti pembakaran terbuka.

“JBPM negeri turut diminta untuk bekerjasama dengan pengusaha ladang kelapa sawit dalam mengekalkan paras air mengikut yang disyaratkan oleh Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO) Certification kerana ini dapat membantu mengelakkan api merebak dengan cepat,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Program Kempen Keselamatan Kebakaran Bersama Bomba Komuniti dan Pelancaran Keselamatan Aktiviti Air di sini, pada Sabtu.

Terdahulu, beliau mengiringi Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Makhzan Mahyuddin bagi melancarkan Latihan Pemantapan Kecekapan Pasukan Keselamatan Kebakaran (ERT).

Mengulas mengenai program berkenaan, Nor Hisham berkata program berkenaan amat penting dalam memastikan peserta berada dalam keadaan berkeupayaan untuk melaksanakan kerja-kerja penyelamatan awal di premis yang dihuni oleh mereka.

“Latihan-latihan sebelum ini adalah penting untuk melihat tanda aras pasukan ini dalam mengenal pasti keperluan penambahbaikan.

“Pada tahun ini, sebanyak 126 pasukan mengambil bahagian pada tahun ini berbanding hanya 87 pasukan pada tahun lepas.

“Peningkatan ini menunjukkan komitmen dan kesedaran pihak majikan serta masyarakat di Sabah terhadap kepentingan mengambil langkah awal terhadap bahaya kebakaran semakin baik,” tambahnya.

Turut hadir, Pengarah Keselamatan Negeri, Majlis Keselamatan Negara Negeri Sabah, Datuk Noor Alam Khan A. Wahid Khan, Pengarah JBPM Negeri Sabah, Abdul Razak Muda dan Timbalan Pengarah JBPM Negeri Sabah, Farhan Sufyan Borhan. — JABATAN PENERANGAN SABAH