KOTA KINABALU, SABAH – Barisan hadapan (frontliners) yang terdiri dari kalangan Doktor, kakitangan hospital, Polis, Tentera dan lain-lain merupakan golongan yang berhadapan dengan cabaran ketika penularan pandemik COVID-19 dan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menyedari hakikat ini, Yayasan Dakwah Malaysia cawangan sabah (YADIM) tanpa henti tampil menyantuni golongan ini dengan pelbagai bentuk sumbangan bertujuan untuk memberikan suntikan semangat sekali gus menghargai jasa dan pengorbanan mereka.
Pengarah YADIM cawangan Sabah Haji Samin Ongki berkata, YADIM cawangan Sabah akan terus melaksanakan program tanggungjawab sosialnya bukan sahaja di kalangan kumpulan sasar melalui bantuan bakul makanan dan lain barisan hadapan juga tidak dipinggirkan dalam program yang mereka laksanakan.
“Kita faham petugas barisan hadapan merupakan petugas yang begitu penting kerana mereka bukan sahaja terbeban dengan tugas namun berhadapan dengan risiko tinggi ketika menjalankannya,” katanya selepas menyerahkan sumbangan Vitamin C yang bernilai RM10,000.00 kepada petugas barisan hadapan di sini, kelmarin.
Antara barisan hadapan yang menerima sumbangan tersebut adalah Polis Di Raja Malaysia (PDRM) Tentera Darat, Jabatan Kesihatan, dan Jabatan Relawan Malaysia (RELA).

Sumbangan tersebut masing-masing diterima oleh Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Mazli Mazlan, Panglima Divisyen Kelima Infantri Mejar Jeneral Dato Haji Mohd Halim Khalid, Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah Dr. Abdul Kahar Abdul Asis dan Pengarah Rela Negeri Sabah Mohamad Pauzi Jhomat.
Menurut Haji Samin, YADIM memilih untuk memberikan sumbangan Vitamin C kerana anggota yang bertugas memerlukannya untuk meningkatkan daya tahan badan daripada penyakit berjangkit.

Dalam pada itu Haji Samin berkata YADIM Sabah amat menghargai sokongan daripada sektor koprat dan orang perseorangan yang tampil menyalurkan bantuan yang diserahkan kepada YADIM untuk diselaraskan dan disampikan kepada golongan sasar.
“Banyak sumbangan yang kami terima dan YADIM Sabah hanya menyelaras dan menyampaikan sumbangan tersebut kepada golongan sasar selari dengan tanggungjawab sosial YADIM kepada masyarakat,” katanya.
Samin ketika menyampaikan sumbangan kepada PDR yang diterima oleh Timbalan Peseruhjaya Polis Sabah Datuk Mazli Mazlan di ibu pejabat Polis Kepayan.
Samin menyampaikan sumbangan kepada anggota tentara yang diterima oleh Panglima Divisyen Kelima Infantri Mejar Jeneral Dato Haji Mohd Halim Khalid di Kem Lokawi.





