PADANG BESAR: Perkhidmatan kereta api State Railway of Thailand (SRT) dari Hatyai ke Padang Besar, Malaysia tergendala selepas landasan dibom berhampiran Stesen Kereta Api Klong Ngek, di Sadao, Thailand, semalam.
Memetik sumber Harian Metro, sumber menyatakan kejadian terbabit berlaku sekitar jam dha petang ketika sebuah kereta api kargo dari Haytai ke Padang Besar tergelincir selepas landasan yang dilalui dipercayai diletakkan bom berhampiran Stesen Kereta Api Klong Ngae.
Letupan terbabit menyebabkan gerabak kereta api tersebut terbabas seterusnya melumpuhkan perkhidmatan kereta api dari sektor berkenaan ke Padang Besar.
Dilaporkan setakat ini tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab atas kejadian berkenaan dan perkhidmatan kereta api SRT masih dihentikan buat sementara waktu.
Dalam pada itu, media tempatan Thailand Bangkok Post melaporkan pihak berkuasa akan membuat siasatan berhubung kejadian terbabit.
Sumber turut memaklumkan landasan terbabit perlu ditutup beberapa hari bagi membolehkan kerja-kerja membaiki dilakukan.
Stesen Kereta Api Khlong Ngae, Sadao terletak 23.3 kilometer dari Stesen Kereta Api Padang Besar, Malaysia di sempadan Malaysia-Thailand.
Kereta api berkenaan mempunyai 20 gerabak dengan 11 daripadanya tergelincir daripada landasan dan rosak teruk.
Empat orang pekerja termasuk dua pemandu dan seorang juruteknik tidak mengalami sebarang kecederaan.
Dalam satu laporan perkembangan berasingan, Exco Kemudahan dan Prasarana, Pengangkutan, Hubungan dan Kerjasama Sempadan, Penyelarasan Penguatkuasaan Bersepadu dan Aduan Awam Perlis, Izizam Ibrahim mengesahkan tiada rakyat Malaysia yang terbabit dalam insiden itu.
Memetik sumber Bernama berhubung kejadian terbabit, Izizam berkata pihaknya menerima maklumat bahawa insiden tersebut tidak membabitkan sebarang kematian atau kecederaan.
“Saya juga difahamkan tiada rakyat Malaysia yang terbabit dalam insiden kereta api kontena yang membawa komoditi getah,” katanya.





