Saifuddin Sifatkan Kerajaan Perpaduan Formula Terbaik Bentuk Kestabilan Politik Malaysia

Saifuddin Sifatkan Kerajaan Perpaduan Formula Terbaik Bentuk Kestabilan Politik Malaysia

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan Kerajaan Perpaduan adalah formula terbaik ke arah kestabilan politik dan membawa kemakmuran ekonomi negara.

Menurutnya, selepaa keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) memaparkan tiada parti memperoleh majoriti, pimpinan PH membuat ketetapan segera berunding dengan parti lain.

Mengulas lanjut, beliau berkata menjadi pembangkang bukannya satu pilihan kepada PH, sebaliknya gabungan parti itu mesti menjadi kerajaan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

“Bermula dengan itu, saya diarah mengatur gerak mendekati watak-watak utama parti bukan PH, yang memenangi sejumlah kerusi untuk diajak ikut serta.

“Ternyata langkah yang diatur kali ini menjadi jauh lebih mudah, tatkala idea Kerajaan Perpaduan disyorkan tepat pada masanya oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Justeru, semalam lengkap sudah pembentukan anggota jemaah menteri. Kerajaan ini, Kerajaan Perpaduan dengan di dalamnya ada PH, Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Parti Warisan Sabah (WARISAN) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM),” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan yang dimuat naik dalam laman media sosial Facebook.

Dalam pada itu, Saifuddin juga berkata, idea Kerajaan Perpaduan dikemukakan sendiri oleh Yang di-Pertuan Agong kepada ketua-ketua parti dengan semuanya bersetuju kecuali Perikatan Nasional (PN).

“Saya berbangga menjadi sebahagian watak yang turut sama menyumbang ke arah pembentukan Kerajaan Perpaduan ini,” katanya.

Walau bagaimanapun, beliau menyatakan usaha terbabit bukannya bermula pada tarikh keputusan PRU15 tetapi lebih awal daripada itu.

“Kita sudah lama membaca perubahan lanskap politik negara yang tidak memungkinkan sebuah parti atau gabungan membentuk kerajaan sendiri.

“Semua parti atau gabungan adalah potensi rakan untuk diajak berunding. Saya bertuah kerana pandangan jauh Perdana Menteri (Anwar) yang ikut mendokong pendekatan ini. Pendekatan politik inklusif. Meramaikan kawan dan mengurangkan musuh.

“Saya diberi peluang dan peranan seluas-luasnya untuk membina rangkaian politik rentas parti selama aktif dalam PKR,” katanya.

Beliau juga menjelaskan, rangkaian politik merentasi parti itu berteraskan ‘trust and respect’ yang bermula dengan PH sendiri.

Namun katanya, beberapa pengajaran daripada pembentukan Kerajaan Perpaduan diperoleh iaitu, sentiasa mengamalkan pendekatan politik terbuka.

“Ini kerana politik adalah dinamik, justeru pendekatan politik juga harus fleksibel. Selain itu, hormat rakan dan lawan kerana kita tidak tahu bila kita akan saling memerlukan.

“Tidak hanya itu dalam politik ini memerlukan kesabaran. Politik ini suatu maraton lambat mencapai destinasinya,” katanya.