MBS Harap Terdapat Lantikan Signifikan Kepada Wakil Sabah Dalam Kerajaan Dan GLC

MBS Harap Terdapat Lantikan Signifikan Kepada Wakil Sabah Dalam Kerajaan Dan GLC

0
SHARE
Pengerusi Tetap Majlis Belia Sabah (MBS), Mazlan @ Joehari Manan...(Sumber Foto: Ihsan MBS)

KOTA KINABALU, SABAH – Majlis Belia Sabah (MBS) berharap adanya lantikan dan tanggungjawab lebih signifikan kepada wakil Sabah dalam kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Pengerusi Tetap MBS, Mazlan @ Joehari Manan berkata pihaknya menyifatkan penglibatan wakil Sabah dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan agak mengecewakan walaupun dibentuk dengan kepelbagaian agama, bangsa, ras negeri.

“Kabinet yang diumumkan oleh Perdana Menteri mempunyai pelbagai latar belakang dengan gabungan muka lama dan baharu…

“Sungguh pun begitu dengan kepelbagaian tersebut diharapkan Kabinet ini mampu membawa perubahan dan reformasi kerajaan baru demi Malaysia yang lebih baik untuk masa depan.

“Cabaran Perdana Menteri dan kerajaan baru ini adalah dalam merealisasikan apa yang telah dijanjikan sebelum pilihanraya. 

“Anak muda dan rakyat secara keseluruhannya akan melihat apa perubahan yang mampu kerajaan baru ini laksanakan dan bagaimana mereka mampu membentuk dasar kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Sementara itu, Mazlan turut berkata pihaknya berharap agar lebih banyak perubahan yang mampu di bawa dan dilakukan kerajaan Persekutuan kepada hak dan kepentingan rakyat negeri ini.

“Peluang telah dihidangkan dan amanah harus dipertanggungjawabkan, kami sentiasa berharap agar kerajaan baru ini mampu membawa perubahan kepada negara ke era baru demi Malaysia yang lebih baik,” katanya.

Dalam pada itu, Mazlan dalam kenyataan beliau turut berkata pihaknya juga menyokong penuh pelantikan dua ahli pemimpin muda, Datuk Ewon Benedick dan Datuk Armizan Mohd Ali dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan.

Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick (kiri,), Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali (kanan)…

“Aspirasi perjuangan mereka sebelum ini sudah tentu mampu membawa perubahan yang ingin direalisasikan dalam kerajaan Malaysia,” katanya.