Dewan Perniagaan India Sabah Sedia Anjur Pesta Kebudayaan

Dewan Perniagaan India Sabah Sedia Anjur Pesta Kebudayaan

0
SHARE
Jothi
Hajiji (tiga kanan) menyalakan kuthu vilakku bersama-sama Jothi (tiga kiri) dan Ram Singh (kiri) - ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Dewan Perniagaan India Sabah bersedia menganjurkan Pesta Kebudayaan India secara berkolaborasi dengan mana-mana pihak untuk memperkenalkan lagi tradisi suku kaum tersebut di negeri ini.

Presidennya, Datuk V. Jothi berkata negara kita mempunyai keunikan dengan masyarakat daripada etnik dan suku kaum yang berbeza meraikan pelbagai perayaan dan ini jelas menunjukkan perpaduan dalam kepelbagaian.

“Pada masa depan kita akan usahakan menganjurkan aktiviti tradisi seperti Pesta Kolam kerana walaupun masyarakat India adalah suku minoriti di Sabah, tetapi kerajaan amat prihatin dan tidak meminggirkan mana-mana etnik,” katanya ketika ditemui media semasa Majlis Ramah Mesra sempena Sambutan Hari Deepavali 2023 di sini, pada Ahad.

Kolam dalam bahasa Tamil membawa maksud indah atau cantik merupakan lukisan di atas lantai yang biasanya dihasilkan daripada beras yang diwarnakan dengan pewarna makanan bermotif merak, bunga dan lukisan abstrak yang sering menjadi pilihan.

Majlis yang dihadiri 1400 pengunjung tersebut turut diserikan dengan kehadiran Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor yang menyampaikan sumbangan kewangan RM3,000 ribu masing-masing kepada Sabah Society For Blind dan Jireh Home Tuaran.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya Datuk Shahelmey Yahya, Menteri Kewangan Sabah Datuk Masidi Manjun, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, Timbalan Speaker DUN Sabah, Datuk Richard Yong serta Presiden Persatuan Kinabalu Singh Sabha Sabah, Datuk Ram Singh. — JABATAN PENERANGAN SABAH