KOTA KINABALU, SABAH – Pesilat wanita negara, Merrywati Manuil mendedahkan mengapa beliau bertudung ketika menyertai pertandingan Kejuaraan Pencak Silat Dunia Ke-19 walaupun beliau beragama Kristian.
Terdahulu, pesilat dari Sabah itu memenangi pingat emas pada bagi Kategori Solo Kreatif Wanita sekali gus memegang status juara dunia.
Merrywati menerusi hantaran di Facebook miliknya hari ini, sebab mengapa beliau berbuat demikian adalah kerana beliau menghormati warisan Melayu serta mengagumi seni silat.
“Banyak bertanya kenapa saya pakai tudung walaupun saya Kristian…
“Silat adalah warisan orang Melayu. Saya sangat menghormati dan mencintai silat.
“Walaupun tidak diwajibkan untuk memakai tudung. Saya memilih untuk memakai tudung ketika pertandingan,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Merrywati berkata, tudung bukan sahaja wajib untuk menutup aurat bagi wanita melayu tetapi bagi, ianya nampak lebih sopan , kemas dan beradab semasa pertandingan.
Katanya lagi, pemakaian tudung ketika pertandingan bukan satu paksaan daripada mana-mana pihak.
“Saya belajar ilmu orang Melayu, sudah tentu saya mengikuti dan melakukan apa yang saya pelajari…
“Semoga persoalan memakai tudung ini terjawab.
“Aihh jangan serius bah kita kita juga baini. Kalau orang melayu ada ‘MAT KILAU’. Saya orang Murut ada Aki Antanom,” katanya.