KOTA KINABALU: Seramai 112 tahanan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) telah dipindahkan ke negara asal masing-masing melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTA) sepanjang Januari hingga Februari tahun ini.
Program Pemindahan Tahanan PATI yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah itu melibatkan 90 lelaki dewasa dan 22 perempuan dewasa yang sebelum ini ditempatkan di Depot Imigresen Negeri Sabah selepas selesai menjalani proses perundangan di Malaysia.
Menurut JIM Sabah, semua tahanan terbabit telah melepasi proses verifikasi dokumen perjalanan dengan pihak kedutaan asing di Malaysia sebelum dibenarkan pulang ke negara asal melalui pintu masuk udara LTA.
“Program pemindahan ini dilaksanakan secara berperingkat selepas tahanan selesai menjalani proses perundangan dan pengesahan dokumen perjalanan oleh pihak kedutaan masing-masing,” menurut kenyataan JIM Sabah, semalam.
Daripada jumlah keseluruhan 112 tahanan, warganegara Pakistan mencatat peratusan tertinggi iaitu 51 peratus, diikuti Filipina (29 peratus), Vietnam (9 peratus), China (5 peratus) dan Thailand (3 peratus). Selebihnya masing-masing satu peratus melibatkan warganegara Laos, Amerika Syarikat dan Indonesia.
JIM Sabah menegaskan pihaknya akan terus mempergiat penguatkuasaan bagi memastikan undang-undang imigresen negara dipatuhi serta mengawal kemasukan warga asing tanpa dokumen sah.
Sehubungan itu, orang ramai diseru supaya lebih peka terhadap persekitaran komuniti dan tidak bersekongkol melindungi atau menggaji PATI.
Sebarang maklumat berkaitan kegiatan PATI boleh disalurkan melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) di https://spab.gov.my atau Sistem Pertanyaan Online (SPO) di https://eapp.imi.gov.my.






