TENOM: Usaha membantu penduduk terjejas banjir di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap terus dipergiat apabila sebanyak 12 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan hampir 1,500 mangsa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, PPS berkenaan menempatkan kira-kira 450 Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas akibat banjir yang melanda kawasan tersebut.
Menurut beliau, pelbagai bentuk bantuan segera sedang digerakkan bagi memastikan mangsa memperoleh keperluan asas dengan cepat termasuk bekalan makanan, air bersih, kit kebersihan serta barangan keperluan harian.
“Semua PPS dikawal selia dengan rapi bagi memastikan keselamatan dan keselesaan mangsa sepanjang berada di pusat pemindahan,” katanya.
Jamawi berkata, daerah Tenom telah mengalami kejadian banjir sebanyak tiga kali sejak awal tahun ini, sekali gus memberi tekanan tambahan kepada penduduk serta agensi berkaitan dalam menguruskan situasi kecemasan.
Beliau menegaskan kerjasama erat antara Pejabat Daerah Tenom, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menjadi faktor utama kelancaran operasi bantuan.
“Semua agensi terlibat bekerja secara bersepadu bagi mempercepatkan proses penyaluran bantuan kepada mangsa,” ujarnya.
Selain bantuan kecemasan, pihak ADUN dan kementerian turut menilai keperluan bantuan susulan termasuk kerja pembersihan rumah, penilaian kerosakan harta benda serta penyaluran bantuan pemulihan bagi membantu penduduk kembali menjalani kehidupan seperti biasa secepat mungkin selepas banjir surut.
Jamawi turut menasihatkan penduduk supaya sentiasa memantau keadaan cuaca dan mematuhi arahan pihak berkuasa demi keselamatan diri dan keluarga.
Beliau pada masa sama memuji kerjasama komuniti setempat yang tampil membantu mangsa melalui penyediaan makanan, pakaian dan keperluan lain secara sukarela, sekali gus memperkukuh semangat kebersamaan dalam menghadapi bencana.
“Kerajaan Negeri akan memastikan segala bantuan dan sokongan diberikan secara berterusan sehingga keadaan kembali pulih sepenuhnya,” katanya.






