Pekerja Tapak Projek Maut Dihempap Bongkah Konkrit di SK Sageng

Pekerja Tapak Projek Maut Dihempap Bongkah Konkrit di SK Sageng

0
SHARE

SIMUNJAN, SARAWAK: Seorang lelaki maut selepas dihempap bongkah konkrit yang digunakan bagi ujian beban di sebuah tapak projek pembinaan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sageng, di sini, petang kelmarin.

Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.08 petang.

Menurut kenyataan tersebut, sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simunjan segera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira enam kilometer dari balai dan tiba pada jam 2.14 petang.

“Komander Operasi melaporkan kejadian melibatkan seorang lelaki dewasa yang juga pekerja tapak pembinaan, dihempap bongkah konkrit yang digunakan untuk ujian beban pada permukaan tanah projek.

“Pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit di bawah struktur konkrit sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” menurut kenyataan itu.

Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan siasatan berhubung insiden berkenaan.