PUTRAJAYA – Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memberi bayangan negara ketika ini telah bersedia untuk memasuki fasa ‘endemik’.
Ini selepas angka penularan jangkitan COVID-19 sejak kebelakangan ini dilihat semakin berkurangan dan negara semakin pulih.
Menurutnya, perkembangan positif itu dapat dilihat menerusi purata kes harian, jumlah kluster, kadar vaksinasi dan kapasiti hospital dalam negara.
Mengulas lanjut perkara itu, Kementerian Kesihatan (KKM) ketika ini mendapati trend yang menurun sejak Minggu Epidemiologi (ME) ke-34 bagi indikator utama seperti kes harian, kes aktif, kematian, kes di unit rawatan rapi (ICU) dan yang memerlukan alat bantuan pernafasan.
“Pada ME ke-40 iaitu dari 3 hingga 9 Oktober lalu, terdapat sebanyak 63,722 kes COVID-19 yang dilaporkan berbanding ME ke-39 iaitu 83,368 kes dengan sejumlah 23.6 peratus…
“Penurunan ini juga berlaku secara konsisten sejak enam minggu kebelakangan (ME ke-34) iaitu sebanyak 133,806 kes aktif dilaporkan pada ME ke-40 (penurunan 21.0 peratus berbanding ME ke-39).
“Selain itu, bagi kes kematian terdapat 700 kes kematian dengan purata 100 kes kematian sehari pada ME ke-40 (penurunan 50.2 peratus berbanding ME ke-39); 778 kes yang memerlukan rawatan di ICU (penurunan 9.0 peratus berbanding ME ke-39); 331 kes yang memerlukan bantuan pernafasan (penurunan 11.2 peratus berbanding ME ke-39) dan penurunan nilai kebolehjangkitan (Rt) sebanyak 0.2 peratus bagi setiap hari,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Dr Noor Hisham memaklumkan, jumlah pengesanan kluster turut menunjukkan penurunan iaitu 79 kluster yang dilaporkan dalam ME ke-40 dan daripada jumlah itu, terdapat penurunan sejumlah 21 kluster berbanding ME ke-39 (penurunan 21.0 peratus).
“Ia merangkumi 34 kluster (54.4 peratus) adalah di tempat kerja, 25 kluster komuniti (31.7 peratus), enam kluster kumpulan berisiko tinggi (7.6 peratus) dan lima kluster keagamaan (6.3 peratus),” katanya.
Bagi program vaksinasi pula, Dr Noor Hisham berkata, sehingga semalam, sejumlah 24,963,595 individu sudah mendaftar bagi mendapatkan vaksinasi.
“Sebanyak 90.0 peratus daripada populasi dewasa sudah menerima suntikan vaksin COVID-19 lengkap, manakala sebanyak 65.2 peratus daripada keseluruhan penduduk menerima suntikan vaksin COVID-19 lengkap,” katanya.
Mengenai kapasiti katil di hospital, beliau berkata, sejak penularan COVID-19 di negara ini, sebanyak 16,199 katil wad biasa dan 1,514 katil wad ICU diperuntukkan bagi merawat pesakit COVID-19.
“Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 8,164 katil yang digunakan sepanjang ME ke-40 berbanding minggu sebelumnya (penurunan lima peratus); sebanyak 16,912 katil digunakan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) dan terdapat penurunan tiga peratus berbanding minggu sebelumnya…
“Bagi katil ICU, penggunaan adalah sebanyak 831 katil (penurunan tujuh peratus berbanding ME ke-39), sebanyak 1,267 alat bantuan pernafasan awam digunakan (penurunan tiga peratus daripada minggu sebelumnya),” jelasnya lagi.