
KOTA KINABALU, SABAH – Anak sulung Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin, Datuk Al Hambra Juhar semalam melangsungkan majlis pernikahan bersama wanita pilihannya.
Al Hambra, 40, yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah menikahi Datin Scarlett Suhaili Sambinding @ Abdullah yang merupakan pengarah di sebuah syarikat swasta di ibu negeri sebagai pasangan hidup hanya sekali lafaz dengan mas kahwin RM1,202.
Upacara akad nikah tersebut dijalankan oleh Pegawai Agama Istana Seri Kinabalu, Imbran Anggun manakala, Scarlett diwalikan oleh adiknya, Muhammad Bukhari Sambinding dan disusuli bacaan doa kesyukuran yang dipimpin oleh Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar.
Berlangsung sederhana, majlis dihadiri ahli keluarga terdekat daripada kedua-dua mempelai termasuk ayahanda serta bonda Al Hambra, Tun Juhar dan Toh Puan Norlidah R.M Jasni di Masjid Negeri Kota Kinabalu.
Turut hadir, Konsul Jenderal Republik Indonesia, Rafail Walangitan, Speaker DUN Sabah Datuk Kadzim M. Yahya dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif, Pengarah JHEAINS Jumain Abd Ghani dan Timbalan Pengarah Penerangan Sabah Supian Musa.
Terdahulu, Al Hambra menyempurnakan Majlis Khatam Al-Quran yang disertai pelajar-pelajar tahfiz di Istana Seri Kinabalu, Sabtu lepas. — JABATAN PENERANGAN SABAH