Jamawi Mahu Semangat Persahabatan Warga MAFFI Diperkukuh Menjelang 2026

Jamawi Mahu Semangat Persahabatan Warga MAFFI Diperkukuh Menjelang 2026

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar menekankan kepentingan memperkukuh semangat persahabatan dan kerjasama dalam kalangan warga Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) bagi memastikan agenda serta perancangan kementerian dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Beliau berkata, suasana kerja yang saling menyokong, terbuka untuk berbincang dan bersedia membantu antara satu sama lain perlu terus dipupuk sebagai asas kepada kepercayaan, kefahaman dan keberkesanan organisasi.

“Apabila hubungan sesama warga kerja kukuh, komunikasi akan menjadi lebih lancar, urusan kerja lebih mudah dan cabaran dapat dihadapi bersama secara matang,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Krismas MAFFI 2025 bertemakan Strengthen Friendship di sini, hari ini.

Jamawi berkata, persahabatan dalam organisasi besar dan pelbagai seperti MAFFI bukan sekadar hubungan peribadi, sebaliknya menjadi pemangkin kepada kerjasama strategik antara jabatan dan agensi di bawah kementerian.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berucap pada Sambutan Hari Krismas MAFFI 2025…

Beliau turut mengingatkan agar warga MAFFI tidak bersaing sesama sendiri, sebaliknya saling melengkapi sebagai satu pasukan yang bergerak ke arah matlamat bersama, diibaratkan seperti sebuah mesin yang berfungsi dengan baik apabila setiap komponen memahami peranannya.

Menurutnya, sambutan Krismas turut membawa mesej sejagat tentang kasih sayang, penerimaan dan kebersamaan yang selari dengan nilai masyarakat Sabah yang kaya dengan kepelbagaian budaya dan kepercayaan.

Beliau merakamkan penghargaan kepada semua warga kementerian serta jawatankuasa penganjur yang diketuai Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah atas kejayaan menganjurkan majlis berkenaan, selain mengucapkan Selamat Hari Krismas dan Selamat Menyambut Tahun Baharu 2026 kepada seluruh warga MAFFI dan keluarga.