KOTA KINABALU: Jamuan akhir tahun sekolah lazimnya menjadi antara aktiviti yang dinanti-nantikan pelajar kerana menandakan berakhirnya sesi pembelajaran, selain peluang menikmati pelbagai hidangan yang dibawa secara potluck.
Namun, bagi sesetengah ibu bapa, acara sebegini turut hadir bersama dilema tersendiri.
Seorang wanita meluahkan perasaannya di media sosial mengenai kerisauan membenarkan anak-anak menghadiri jamuan akhir tahun sekolah kerana kekangan kewangan.
Menurutnya, meskipun pihak sekolah telah memberi senarai awal kepada ibu bapa yang ingin menyumbang makanan, dia memilih untuk tidak mengisi apa-apa kerana tidak mampu menyediakan juadah.
Katanya, dia berasa serba salah membenarkan anak-anak hadir tanpa membawa makanan sendiri, namun pada masa sama tidak sanggup mengecewakan mereka yang teruja untuk menyertai jamuan tersebut.
Anak-anaknya, jelasnya, sangat ingin pergi kerana terbayang keenakan makanan yang akan disediakan rakan-rakan.
Bagi memastikan anak-anak tidak berasa tersisih, wanita itu akhirnya menggunakan baki wang RM13 yang ada untuk membeli air kotak sebagai sumbangan ringkas ke jamuan berkenaan.
Setiap anak dibekalkan dua kotak minuman, dan menurutnya, kegembiraan yang terpancar di wajah mereka sudah cukup bermakna.
Perkongsian tersebut mencetuskan pelbagai reaksi warga maya, dengan ramai tampil memberikan cadangan hidangan ringkas dan murah yang boleh dibawa ke jamuan sekolah.
Ada yang menyarankan kuih buatan sendiri seperti cekodok atau roti telur, malah ada juga yang menegaskan kehadiran anak-anak lebih penting daripada kemeriahan hidangan, asalkan suasana diraikan bersama.






