SEPANG: AirAsia X (AAX) mengorak langkah besar dalam pengembangan rangkaian globalnya dengan melancarkan laluan terus baharu dari Kuala Lumpur ke Istanbul, Türkiye bermula 14 November 2025.
AirAsia dalam satu kenyataan semalam memaklumkan, laluan ini akan beroperasi empat kali seminggu dan menjadi kemasukan rasmi AAX ke pasaran Eropah, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju penerbangan jarak sederhana berpatutan.
“Istanbul, yang terletak di persimpangan dua benua Asia dan Eropah, dipilih sebagai pintu masuk strategik yang menghubungkan Asia Tenggara ke Eropah.
“Perkhidmatan ini akan beroperasi melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gökçen (SAW), hab utama dengan sambungan ke lebih 117 destinasi antarabangsa dan 40 destinasi domestik, memberi lebih banyak pilihan kepada penumpang dari kedua-dua rantau,” kata kenyataan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif AAX, Benyamin Ismail, berkata laluan baharu ini memenuhi impian ramai penumpang yang menantikan akses terus ke Istanbul.
“Selepas kejayaan pengembangan ke Asia Tengah, laluan ini membawa kami lebih dekat kepada visi menghubungkan Asia dengan destinasi antarabangsa melalui perjalanan berpatutan. Istanbul sebagai satu-satunya bandar di dunia di dua benua memberikan keunikan tersendiri untuk pelancong dan peluang perniagaan,” katanya.
Benyamin turut memaklumkan laluan ini membuka peluang pakej Umrah Plus Istanbul oleh ikhlas.com, anak syarikat gaya hidup Islamik Capital A.
“Pakej ini membolehkan jemaah menggabungkan ibadah Umrah dengan lawatan ke bandar bersejarah tersebut.
“Melalui perkhidmatan Fly-Thru, penumpang juga boleh meneruskan perjalanan ke destinasi lain seperti Indonesia, Australia, Singapura, China dan Thailand tanpa perlu mendaftar masuk bagasi semula,” katanya.
Sementara itu, Duta Besar Republik Türkiye ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Emir Salim Yüksel, menyifatkan laluan ini sebagai pengukuh hubungan strategik antara kedua-dua negara.
“Ia bukan sahaja meningkatkan pelancongan, malah menggalakkan hubungan perniagaan, kerjasama industri, pendidikan dan inovasi,” katanya.
Sempena pelancaran, AAX menawarkan tambang promosi bermula RM499 sehala termasuk semua bagi kelas ekonomi dan RM3,999 sehala termasuk semua bagi Premium Flatbed.
Tempahan dibuka sehingga 20 Ogos 2025 untuk perjalanan antara 14 November 2025 hingga 14 September 2026 melalui airasia.com dan aplikasi AirAsia MOVE. Penumpang turut berpeluang menikmati potongan sehingga 45 peratus untuk bagasi daftar masuk.
Istanbul yang terkenal dengan mercu tanda ikonik seperti Masjid Biru, Hagia Sophia dan Istana Topkapi, serta pasar berwarna-warni seperti Bazaar Besar dan Pasar Rempah, dijangka menjadi tarikan utama pelancong Malaysia dan Asia Tenggara melalui laluan baharu ini.






