SANDAKAN, SABAH – Mayat seorang remaja yang dikhuatiri lemas ketika bermandi manda bersama rakan di pantai berhampiran Kilang Sinora, Batu Sapi, sini, ditemui sehari selepas insiden pada hari ini.
Mohd Amiruddin Juhardin, 16, ditemui orang awam pada pukul lapan pagi kira-kira 30 meter dari pesisir pantai berhampiran jeti mangsa terakhir dilihat.
“Mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pasukan polis di lokasi kejadian,” lapor seorang jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah.
Operasi mencari dan menyelamat melibatkan pelbagai agensi diaktifkan sebaik menerima panggilan kecemasan berhubung kes pada 5.40 petang Jumaat.
Operasi tersebut ditangguhkan pada pukul 8.30 malam semalam dan disambung awal pagi tadi sebelum ditamatkan pada jam 8.30 pagi susulan penemuan mangsa.