Malaysia Tidak Sambut Ambang Tahun Baru Dalam Solidariti Bersama Palestin

Malaysia Tidak Sambut Ambang Tahun Baru Dalam Solidariti Bersama Palestin

0
SHARE

SHAH ALAM, SELANGOR – Kerajaan Persekutuan tidak bercadang untuk mengadakan sebarang sambutan ambang tahun baru, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata keputusan itu diambil sebagai tanda solidariti dengan rakyat Palestin yang kini dilanda pencerobohan dan kekejaman Israel, selain menghormati mangsa yang terjejas akibat banjir yang berterusan di beberapa negeri.

“Bagaimanapun, di peringkat kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan, mungkin ada program sambutan yang bersesuaian dengan persekitaran tempatan mereka,” katanya memetik Bernama.

Beliau ditemui selepas merasmikan perhimpunan agung tahunan Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida).

Sementara itu, mengenai status 130 stesen penghantaran komunikasi terjejas banjir di Sabah, Kelantan, Pahang, Selangor dan Terengganu, beliau berkata sehingga kini sebanyak 53 stesen telah beroperasi semula manakala selebihnya masih dalam pembaikan.

Fahmi berkata beliau akan mengarahkan kawasan terbabit menjalani pengerasan tapak dengan meningkatkan peralatan komunikasi ke tahap lebih tinggi bagi mengelak kejadian berulang.