Menara Telekomunikasi Kampung Rancangan Belia Tiulon Beri Manfaat 2,000 Penduduk

Menara Telekomunikasi Kampung Rancangan Belia Tiulon Beri Manfaat 2,000 Penduduk

0
SHARE
Arthur
Arthur ketika ditemui media ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KENINGAU, SABAH – Pembinaan menara telekomunikasi Kampung Rancangan Belia Tiulon, Sook memberi manfaat kepada 2,000 penduduk sekitarnya.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Kurup berkata, menara di bawah Projek Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 1 tersebut telah mula beroperasi pada penghujung Mac dan merupakan satu daripada 55 menara yang diluluskan bagi kawasan Parlimen Pensiangan.

“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menjalankan ujian liputan jalur lebar bagi semua perkhidmatan yang dipancarkan melalui menara ini iaitu CelcomDigi, Maxis dan UMobile.

“Kelajuan internet adalah sangat memuaskan iaitu diantara 45Mbps hingga 85Mbps dan melalui tinjauan kepada penduduk kampung, mereka amat berpuas hati dan berterima kasih kepada MCMC,” katanya selepas Perasmian Menara Komunikasi Projek JENDELA di Kampung Rancangan Belia Tiulon Sook, pada Sabtu.

Pembinaan menara itu adalah selaras Pelan Pembangunan Pensiangan yang akan merapatkan lagi jurang digital bandar dengan luar bandar dan setakat suku keempat 2023 capaian liputan mudah alih bagi kawasan berpenduduk di daerah tersebut adalah 62.85 peratus, meningkat daripada 40.97 peratus sebelum adanya projek JENDELA.

Arthur turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada MCMC dan komited selaku wakil rakyat akan memastikan pelaksanaan baki 36 menara telekomunikasi dilaksanakan dengan baik untuk kesejahteraan masyarakat.

Parlimen Pensiangan diperuntukkan sebanyak 55 menara baharu, naik taraf 137 stesen pemancar, Ketersediaan Sambungan Gentian Optik kepada 6,029 premis dan 25 lokasi Jalur Lebar Satelit di bawah projek JENDELA.

Hadir sama, Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor, Pengarah MCMC Pejabat Negeri Sabah, Ratnawaty Talib, Ketua Pegawai Eksekutif Common Tower Technologies Sdn Bhd, Jeremy Kimsin dan Pengurus Projek REDTone Engineering Services Sdn Bhd, Amrul Gan. — JABATAN PENERANGAN SABAH