TAWAU, SABAH – Presiden MPT, Joseph Pang Pick Lim berkata, Pasar Malam Rabu Sabindo (PMRS) yang diwujudkan oleh Majlis Perbandaran Tawau (MPT) dijangka dapat membantu meningkatkan industri pelancongan di daerah ini.
Jelas beliau, pihaknya sudah mewujudkan beberapa pasar berskala besar untuk dikunjungi di daerah ini.
“Sebelum ini, kita sudah wujudkan pasar malam Chester diadakan dua hari seminggu iaitu setiap Jumaat dan Sabtu serta pasar Tamu Ahad di kawasan Sabindo…
“Semua pasar termasuk PMRS yang diwujudkan itu adalah antara terbesar dan terpanjang di negeri ini serta mempunyai pelbagai variasi jualan disediakan oleh peniaga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena majlis pelancaran perasmian PMRS, di sini kelmarin, lapor Utusan Borneo.
Tambah beliau, PMRS juga adalah langkah awal untuk menjadikan Tawau sebagai pusat pelancongan berasaskan makanan seperti yang dicadangkan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin baru-baru ini.
“Kita berharap semua aktiviti yang dilaksanakan ini dapat menarik minat pelancong luar untuk melawat daerah Tawau dan berbelanja dengan harga yang murah.
“Semoga hasrat dan cita-cita kita untuk menjadi Tawau sebagai lokasi wajib untuk dikunjungi pelancong luar menjadi kenyataan suatu hari nanti,” katanya.
Joseph berkata, objektif utama PMRS ini diwujudkan juga untuk memberi peluang kepada peniaga kecil meningkatkan pendapatan mereka demi kelangsungan hidup menyara keluarga.
“Justeru, PMRS selaras dengan teras Hala Tuju Sabah Maju Jaya iaitu untuk mensejahterakan rakyat di negeri ini,” katanya.
Dalam pada itu, Joseph meminta masyarakat di daerah ini terutamanya golongan belia supaya merebut peluang untuk berniaga di PMRS.
“Sebanyak 514 lot gerai disediakan sepanjang kawasan Sabindo dan hanya berbaki 150 lot lagi yang masih kosong.
“MPT juga akan meniliti setiap cadangan terutamanya dalam meningkatkan pendapatan masyarakat dan sektor pelancongan di daerah ini,” katanya.





