Ciri Integriti Sering Dikait Dengan Pemimpin Berdaya – Masidi

Ciri Integriti Sering Dikait Dengan Pemimpin Berdaya – Masidi

0
SHARE
Masidi
Masidi (tengah), Yee (kiri) dan 'CEO' Perbadanan Pinjaman Sabah Geroge Taitim Tulas (kanan)

KOTA KINABALU, SABAH – Seorang pemimpin yang kuat sering dikaitkan dengan ciri integriti kata Menteri Kewangan Negeri Sabah Datuk Masidi Manjun.

“Ini bukan soal kepakaran, tetapi dari segi perwatakan. Ia datang daripada pemikiran dan sikap kita,” katanya dalam ucapan perasmikan pelancaran Pelan Pencegahan Rasuah Organisasi (OACP) 2024-2028 Sabah Credit Corporation (SCC) di SICC di sini pada Sabtu.

Dalam majlis itu, Pengerusi SCC Datuk Seri Dr Yee Moh Chai turut menyerahkan dividen interim bernilai RM10 juta kepada kerajaan bagi tahun 2023.

Masidi berkata jumlah itu adalah pencapaian kakitangan yang berbangga menjadi rakyat Sabah dan ingin bekerja untuk kepentingan negeri.

“Kecemerlangan adalah milik mereka yang inginkan kecemerlangan. Sentiasa mempunyai keinginan untuk cemerlang dan layani kerja seolah ibadah.

“Tiada guna berkata saya sayang Sabah di media sosial tetapi buat kerja separuh hati.

“Sebelum kita dinilai di akhirat, ia adalah pendorong terbaik untuk cemerlang dalam hidup yang ini supaya kita boleh menerima yang lebih baik dalam hidup yang seterusnya.

“Mungkin ada yang kata ada yang korup dan kaya-raya tapi terlepas tanpa tindakan undang-undang. Ya, tapi tunggu akhirat. Fikir-fikirkanlah,” tambahnya.

Pelan OACP itu menggariskan lima bidang keutamaan iaitu Pentadbiran, Sumber Manusia, Operasi, Pengurusan Kewangan dan Keselamatan Data.

Bagi tujuan itu, sebanyak sembilan strategi dan tiga puluh dua inisiatif telah digariskan dalam usaha mencapai matlamat.