KOTA KINABALU: Kesibukan tugas harian sering dijadikan alasan, namun kewajipan menunaikan solat tetap menjadi asas penting dalam kehidupan seorang Muslim.
Isu ini dibangkitkan oleh seorang pemuda menerusi perkongsiannya di media sosial apabila mendakwa semakin ramai pekerja Islam yang mengabaikan solat, khususnya di tempat kerja.
Menurut pemuda berkenaan, berdasarkan pengalamannya bekerja di beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat multinasional (MNC), majoriti pekerja Islam didakwa tidak menunaikan solat, terutamanya golongan lelaki.
Katanya, situasi itu bukan melibatkan golongan muda semata-mata, sebaliknya ramai berusia lebih 30 tahun.
Dalam perkongsian sama, dia turut mengingatkan bahawa solat merupakan kewajipan yang tidak seharusnya dipandang ringan, selain mengajak umat Islam membiasakan diri menunaikannya pada awal waktu.
Menurutnya, solat awal mampu memberi ketenangan dan membantu mengurus tekanan kerja walaupun beban tugas semakin bertambah.
Luahan itu mendapat sokongan beberapa netizen lain yang berkongsi pengalaman hampir sama.
Seorang wanita mendakwa di tempat kerjanya dalam sektor peruncitan, sebahagian pekerja lelaki beragama Islam mengelak menunaikan solat Jumaat dengan bersembunyi di gudang.
Ruangan komen turut dibanjiri pandangan netizen yang menyatakan perkara sama berlaku di pelbagai sektor, termasuk pejabat dan jabatan kerajaan.
Ada yang mendakwa sebahagian pekerja memberi alasan menunaikan solat di rumah, manakala segelintir lain menganggap perkara tersebut sebagai kebiasaan, terutamanya di kawasan bandar besar.






