AirAsia X Umum Kerjasama Strategik Dengan Lembaga Pelancongan Kenya, Tingkat Kesalinghubungan Asia...

AirAsia X Umum Kerjasama Strategik Dengan Lembaga Pelancongan Kenya, Tingkat Kesalinghubungan Asia dan Afrika

0
SHARE
Airasia
AirAsia X mengumumkan kerjasama strategik dengan Lembaga Pelancongan Kenya bagi meningkatkan kesalinghubungan antara benua Asia dan Afrika dan memacu pertumbuhan pelancongan kedua-dua buah negara ( Sumber Foto: Ihsan AirAsia )

NAIROBI, KENYA- AirAsia X mengumumkan kerjasama strategik dengan Lembaga Pelancongan Kenya bagi meningkatkan kesalinghubungan antara benua Asia dan Afrika dan memacu pertumbuhan pelancongan kedua-dua buah negara.

Kerjasama ini bertepatan dengan pelancaran penerbangan terus baharu AAX yang akan datang untuk menghubungkan Kuala Lumpur ke Nairobi bermula pada 15 November ini dengan empat penerbangan mingguan.

Kerjasama antara AAX dan Lembaga Pelancongan Kenya ini termasuk aktiviti promosi bersama, kempen pemasaran yang diselaraskan dan usaha kolaboratif untuk meningkatkan pengalaman perjalanan.

Ia juga bertujuan untuk memanfaatkan kekuatan kedua-dua organisasi untuk menarik lebih ramai pelancong dan merangsang pertumbuhan ekonomi di Malaysia dan Kenya.

Wilayah Komuniti Afrika Timur (EAC) telah menetapkan matlamat untuk menarik lebih 14 juta pelancong antarabangsa pada setiap tahun menjelang 2025, di mana Nairobi diletakkan sebagai hab utama dalam strategi pelancongannya.

Penerbangan terus baharu akan datang dijangka bakal meningkatkan profil Nairobi sebagai pintu masuk kepada perjalanan serantau dan antarabangsa, seterusnya memacu ekonomi dan mempromosikan pertukaran budaya.

Pengenalan penerbangan terus ini juga akan memainkan peranan penting dengan menawarkan akses Fly-Thru yang mudah kepada pelancong dari Kenya untuk melawat ke destinasi terkemuka Asia melalui Kuala Lumpur.

Selain itu, sejajar dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 yang akan datang, laluan baharu ini akan meningkatkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama yang menawarkan pengalaman yang pelbagai.

Kuala Lumpur akan menjadi pintu masuk utama untuk pelancong dari Nairobi, menawarkan mereka akses terus ke pelbagai tarikan menarik di Malaysia, termasuk mercu tanda budaya, landskap yang indah dan kulinari yang pelbagai.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail berkata pihaknya berbesar hati untuk melancarkan laluan terus baharu terbabit ke Nairobi pada bulan hadapan.

“Ini adalah langkah penting dalam misi kami untuk menghubungkan Asia dengan Afrika dan memudahkan perjalanan antara dua buah benua ini.

“Kerjasama dengan Lembaga Pelancongan Kenya membuktikan komitmen kami untuk meluaskan peluang perjalanan dan meningkatkan sektor pelancongan.

“Laluan baharu ini juga akan memainkan peranan penting dalam pertumbuhan pelancongan Kenya dan mewujudkan rangkaian baharu untuk pengembara.

Laluan ini bukan sahaja akan memperkukuh rangkaian global kami malah menyokong matlamat pelancongan kedua-dua buah negara.” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Kenya, June Chepkemei berkata kerjasama ini akan memacu pertumbuhan yang ketara dalam bilangan pelancongan ke Kenya.

“Kesalinghubungan yang dipertingkatkan ini akan merangsang pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan peluang baharu untuk perniagaan tempatan, mempamerkan Kenya sebagai destinasi utama untuk pengembara global, terutamanya dari Asia,” katanya.