GAZA, PALESTIN – Israel memperhebat serangan ke atas sasaran di selatan Semenanjung Gaza pada hari Sabtu susulan gencatan senjata selama seminggu dengan Hamas.
Tindakan negara itu menimbulkan kebimbangan baharu tentang jumlah orang awam yang terkorban.
Memetik Associated Press, Kementerian Kesihatan Gaza yang dikendalikan Hamas melapirkan sekurang-kurangnya 200 rakyat Palestin terbunuh sejak pertempuran disambung semula pada awal pagi Jumaat.
Perkara ini berlangsung meskipun Amerika Syarikat menggesa sekutunya Israel untuk melakukan segala yang mungkin untuk melindungi orang awam.
“Ini akan menjadi sangat penting pada masa hadapan,” kata Setiausaha Negara Antony Blinken pada hari Jumaat selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Arab di Dubai.
“Ia sesuatu yang kita akan lihat dengan teliti,” tambahnya mengakhiri lawatan ketiga Timur Tengahnya sejak perang bermula.
Kebanyakan serangan Israel pada Sabtu tertumpu di kawasan Khan Younis di selatan Gaza, di mana tentera berkata ia telah menyerang lebih 50 sasaran Hamas dengan serangan udara, tembakan kereta kebal dan tentera lautnya.
Tentera Israel menjatuhkan risalah sehari sebelum menyerang sebagai amaran kepada penduduk untuk meninggalkan kawasan itu.
Namun demikan, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, sehingga lewat Jumaat, tidak ada laporan mengenai pergerakan dalam jumlah besar.
“Tiada tempat untuk kami pergi,” keluh Emad Hajar, yang melarikan diri bersama isteri dan tiga anaknya dari bandar utara Beit Lahia sebulan lalu untuk mencari perlindungan di Khan Younis.
“Mereka mengusir kami dari utara, dan kini mereka menolak kami untuk meninggalkan selatan,” katanya.
Tentera Israel berkata ia juga melakukan serangan di utara, dan mengenai lebih daripada 400 sasaran di seluruh Semenanjung Gaza.
Kira-kira dua juta orang — hampir keseluruhan penduduk Gaza — bersesak-sesak di selatan wilayah itu, di mana Israel menggesa orang ramai untuk berpindah pada permulaan perang dan sejak itu bersumpah untuk melanjutkan serangan daratnya.
Tidak dapat pergi ke utara Gaza atau negara jiran Mesir, mereka hanya terperangkap dalam kawasan seluas 220 kilometer.
Sebagai tindak balas kepada seruan AS untuk melindungi orang awam, tentera Israel mengeluarkan peta secara dalam talian, tetapi ia telah melakukan lebih banyak perkara untuk mengelirukan daripada membantu.
Ia membahagikan Semenanjung Gaza kepada ratusan petak bernombor, dilukis secara sembarangan, kadangkala merentasi jalan atau blok, dan meminta penduduk mengetahui nombor lokasi mereka sekiranya berlaku pemindahan.