SAGA X: 10 Kontinjen Beraksi Boling Padang

SAGA X: 10 Kontinjen Beraksi Boling Padang

0
SHARE

KENINGAU, SABAH – Sepuluh kontinjen akan berentap dalam aksi boling padang Sukan Sabah kali ke-10 (SAGA X).

Pembantu Menteri Kerja Raya Datuk Robert Tawik yang juga ADUN Bingkor berkata, acara tersebut yang bermula semalam sehingga Rabu depan mampu melahirkan atlet-atlet yang berkebolehan untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.

“Saya difahamkan sebanyak sepuluh kontinjen terlibat dalam pertandingan Boling Padang kali ini antaranya Kontenjin Keningau, Tenom, Penampang, Sandakan, Beluran, Pitas, Beaufort, Kota Belud, Tawau dan Kota Kinabalu selaku tuan rumah.

“Harapan kita agar kesemua peserta akan menunjukan semangat juang yang tinggi serta berkomitmen untuk menang agar dapat kita ketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan pembukaan acara Boling Padang SAGA X di Kompleks Sukan Keningau pada Jumaat.

Sementara itu, Presiden Boling Padang Sabah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Teknikal pertandingan, Shuib Hashim mengalu-alukan acara sukan tersebut diadakan di Keningau memandangkan Kota Kinabalu selaku tuan rumah SAGA X mengalami kesulitan.

“Pada edisi kali ini, kebanyakan kontinjen menyenaraikan peserta-peserta muda di bawah umur 17 tahun, dan ini satu perkembangan positif untuk kita mencungkil dan menyerlahkan bakat-bakat muda agar dapat kita ketengahkan pada masa depan, “katanya.

Seperti edisi yang lepas, acara Boling Padang SAGA X kali ini menawarkan lapan pingat emas untuk di menangi melibatkan lapan disiplin iaitu Single lelaki dan wanita, Pairs atau berdua lelaki dan wanita, Triple atau bertiga lelaki dan wanita seterusnya disiplin Berempat juga melibatkan kategori lelaki dan wanita. — JABATAN PENERANGAN SABAH