Kota Kinabalu: Kaligrafi Islam boleh menjadi medium dakwah yang berkesan, kata Menteri Sains Teknologi Dan Inovasi Datuk Dr Arifin Mohd Arif.
Menurutnya, dakwah boleh disampaikan melalui keindahan seni khat itu sendiri dan di antara kesenian dan dakwah mempunyai perkaitan yang tidak boleh dipisahkan.
“Dakwah bukan sahaja disampaikan dengan cara berkomunikasi melalui ceramah, malah dakwah juga boleh disampaikan secara fizikal tanpa berkomunikasi tetapi hanya dengan pandangan mata dan hati manusia.
“Sebagai contoh, terdapat ukiran Seni Khat yang mempamerkan keindahan ayat-ayat suci Al Quran seperti Surah Yasin yang diukir mengelilingi sebuah menara bernama Qutub Minar dan Ayat Kursi yang diukir pada pintu gerbang Taj Mahal.
“Kedua-dua binaan ini merupakan lambang kegemilangan tamadun Islam yang dibina sewaktu zaman Empayar Mughal dan menjadi bukti kukuh mengenai perkembangan Islam di India.
“Seni dilihat bukan sekadar metode hiburan semata-mata bahkan juga berperanan sebagai medium dakwah yang berkesan maka dapat disimpulkan bahawa Seni Khat itu merupakan sebahagian daripada cara berhikmah dalam berdakwah”, kata Arifin.
Arifin yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam serta Pendidikan menyeru umat Islam di seluruh nusantara agar berganding bahu memperkasakan seni khat sebagai lambang ketamadunan.
“Justeru, perlu adanya usaha untuk mempertingkatkan kemahiran Seni Khat yang cantik dan unik ini berdasarkan keupayaan, kreativiti dan inovasi umat manusia khasnya para penggiat seni dan seniman Islam agar ianya terus hidup “ tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas ” dan dapat diwarisi oleh generasi penerus kita yang akan datang” ujarnya.
Arifin berkata demikian semasa berucap menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah pertandingan Kaligrafi Islam (Khat) Nusantara Sabah dan Pertandingan Seni Khat Islami Borneo, Sabah Kali Ke 8/2023 di Dewan Bankuasi Menara Kinabalu.
Turut hadir dalam majlis tersebut Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains) Jumain Abdul Ghani dan Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Negeri Sabah Datuk Norjeli Dais
Pertandingan seni khat mencatat penglibatan 99 orang peserta dari Malaysia, Indonesia dan Brunei. — JABATAN PENERANGAN SABAH





