Mantan ADUN Seru Rakyat Sabah Undi GRS Demi Masa Depan dan Kestabilan...

Mantan ADUN Seru Rakyat Sabah Undi GRS Demi Masa Depan dan Kestabilan Negeri

0
SHARE

KOTA KINABALU: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), J. Ligunjang JP, menyeru rakyat Sabah supaya terus menyokong dan mengundi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam pilihan raya akan datang bagi menjamin kestabilan, kemajuan dan masa depan negeri.

Beliau berkata, Sabah telah menikmati pertumbuhan hasil kewangan dan pembangunan pesat di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang berjaya membawa hasil negeri ke tahap tertinggi serta membuka peluang ekonomi baharu kepada rakyat.

“Di bawah kepimpinan Hajiji, Sabah telah menikmati kestabilan yang menjadi asas kepada kesejahteraan keluarga, pendidikan dan ekonomi rakyat. Mengundi GRS bukan sekadar pilihan politik, tetapi satu komitmen untuk mempertahankan kemajuan yang telah dicapai,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Ligunjang menegaskan bahawa hubungan GRS dengan kerajaan Persekutuan di bawah Pakatan Harapan (PH) bukan satu bentuk kompromi terhadap hak Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), sebaliknya bertujuan memastikan hak-hak tersebut terus dihormati dan dilaksanakan melalui kerjasama dan persefahaman bersama.

Beliau turut memuji usaha GRS dalam memupuk perpaduan kaum dan keharmonian beragama di Sabah, yang menjadikan negeri itu sebagai simbol toleransi dan kestabilan.

“Kekuatan Sabah terletak pada perpaduan rakyatnya. GRS telah membuktikan bahawa keharmonian dan kestabilan boleh dicapai melalui kepimpinan yang inklusif dan berasaskan rakyat,” ujarnya.

Ligunjang menyeru rakyat agar mengekalkan sokongan kepada GRS bagi memastikan Sabah terus maju, makmur dan bersinar untuk generasi masa depan.

“Undi anda adalah simbol kasih dan harapan terhadap tanah air kita,” katanya.