Chan Sanggah Dakwaan Perjanjian Malaysia–Amerika Syarikat Abaikan Sabah

Chan Sanggah Dakwaan Perjanjian Malaysia–Amerika Syarikat Abaikan Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Chan Foong Hin, menolak dakwaan bahawa Perjanjian Perdagangan Timbal Balik Malaysia–Amerika Syarikat (ART 2025) hanya menguntungkan Semenanjung Malaysia, sambil menyifatkannya sebagai tanggapan salah dan retorik politik sempit.

Beliau berkata perjanjian itu bersifat inklusif dan memberi manfaat kepada semua negeri termasuk Sabah dan Sarawak.

“Senarai pengecualian tarif ART 2025 melibatkan 1,711 produk Malaysia seperti minyak sawit, getah, kayu dan koko iaitu komoditi utama Sabah dan Sarawak,” katanya.

Chan menjelaskan Sabah kekal pengeluar minyak sawit mentah terbesar negara dengan 4.27 juta tan pada 2024.

Di bawah ART 2025, eksport minyak sawit serta produk koko dari negeri itu akan menikmati akses pasaran lebih luas ke Amerika Syarikat.

Beliau turut menafikan dakwaan bahawa import gas asli cecair (LNG) dari Amerika Syarikat akan menjejaskan operasi di Kimanis dan Bintulu, sebaliknya menjelaskan ia sebahagian strategi pengimbangan tenaga negara.

“Fasiliti LNG di Kimanis dan Bintulu kekal aset strategik negara. Menyebarkan persepsi Sabah bakal rugi hanya menanam sentimen politik yang tidak membantu,” katanya.

Chan menegaskan Sabah tidak pernah diketepikan dalam diplomasi perdagangan antarabangsa dan menyeru semua pihak agar memanfaatkan ART 2025 bagi memperkasa Sabah sebagai hab eksport dan pengeluaran bernilai tambah.