Sabah Perlu Dasar Pelaburan Menarik Untuk Industri Hiliran Minyak Sawit – Hong

Sabah Perlu Dasar Pelaburan Menarik Untuk Industri Hiliran Minyak Sawit – Hong

0
SHARE
Perindustrian
Hong (duduk dua kanan) dalam mesyuarat bersama Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Phoong Jin Zhe ( Sumber Foto: Ihsan Kumpulan Teck Guan )

KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan negeri perlu lebih proaktif terutama memperkenalkan dasar yang lebih menarik dan berdaya saing bagi menarik Pelaburan Langsung Asing (FDI), jika berhasrat membangunkan industri hiliran minyak sawitnya, kata Datuk Hong Ngit Ming, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Teck Guan (Teck Guan).

Beliau khususnya berpendapat Sabah mempunyai potensi besar untuk membangunkan industri oleokimia.

“Ini disebabkan Sabah mempunyai sumber yang besar seperti minyak sawit, minyak isirong sawit (PKO), makanan isirong sawit (PKM), mineral dan lain-lain untuk kegunaan industri hiliran minyak sawit,” katanya.

Beliau berkata, sebagai permulaan, kerajaan negeri boleh mempertimbangkan secara serius untuk memberi pengecualian cukai kepada pelabur yang menubuhkan kilang pembuatan hiliran minyak sawit di Sabah.

“Jika tiada apa-apa yang dilakukan oleh Sabah, tiada pelabur asing yang mahu datang ke Sabah untuk melabur dalam industri hiliran minyak sawit, seperti pembuatan oleokimia.

“Manakala Sabah akan terus menghadapi saingan besar dari Indonesia, kerana kos bahan mentah yang lebih rendah,” beliau berkata dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Beliau berkata, Teck Guan telah banyak melabur dalam pembuatan oleokimia di Rugao, Nantong City, Provinsi Jiangsu China, sejak 2005.

Katanya pihaknya akan lebih bersedia untuk mengadakan perbincangan secara mendalam dengan kerajaan negeri dan agensi berkaitan mengenai pendekatan terbaik untuk menarik pelabur dari China termasuk pengeluar oleokimia dari Rugao untuk melabur di Sabah.

Oleokimia ialah sebatian kimia yang berasal daripada lemak dan minyak semulajadi, termasuk minyak sawit, yang boleh digunakan sebagai bahan mentah atau sebagai bahan tambahan dalam pelbagai industri.