KOTA KINABALU: Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick menegaskan bahawa isu hak 40 peratus hasil Sabah merupakan perjuangan berasaskan Perlembagaan dan perlu terus dipertahankan oleh rakyat negeri ini.
Dalam kenyataannya hari ini, beliau menghargai penjelasan Perdana Menteri di Parlimen yang mengiktiraf bahawa hak tersebut dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan.
Ewon turut mengambil maklum mengenai cadangan rayuan terhadap alasan penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung kes tuntutan hak 40 peratus, namun menegaskan bahawa “rayuan tetap sebuah rayuan”, menggambarkan pendiriannya bahawa apa-apa tindakan undang-undang tetap perlu dinilai dari sudut prinsip perlembagaan.
Menurut beliau, selama tiga tahun berada dalam Kabinet Persekutuan, pendiriannya konsisten bahawa hak 40 peratus adalah hak perlembagaan Sabah yang berbeza daripada tanggungjawab Kerajaan Persekutuan di bawah Senarai Persekutuan.
Katanya, jawapan balas terhadap isu tersebut sepanjang tempoh itu tidak banyak berubah daripada reaksi yang diterima rakyat di Tamu Gaya Street.
Ewon menyifatkan Penghakiman Bertulis Mahkamah Tinggi pada 17 Oktober lalu sebagai dokumen penting yang wajib dibaca oleh semua rakyat Sabah kerana ia menghuraikan kedudukan hak Sabah secara jelas dan terperinci. Dokumen itu, katanya, memberi kefahaman mendalam mengenai kedudukan perlembagaan Sabah dalam persekutuan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak yang disifatkannya sebagai “wira sebenar Sabah”, iaitu Sabah Law Society serta golongan muda di Tamu Gaya yang berani mempertanyakan isu “bila mau bayar 40%?”.
Katanya, keberanian itu mencerminkan kesedaran rakyat Sabah terhadap hak negeri yang semakin meningkat.
Jelasnya lagi, Pilihan Raya Negeri Sabah yang akan datang perlu dilihat sebagai satu bentuk referendum rakyat untuk mempertahankan hak 40 peratus Sabah.
Beliau menyeru agar pengundi memberi sokongan kepada parti-parti tempatan yang komited memperjuangkan hak negeri di peringkat Persekutuan.
Ewon turut mengumumkan bahawa beliau akan menyampaikan ucapan penting berkaitan isu tersebut pada Konvensyen Rakyat dan Pelancaran Jelajah “Sabah First” yang berlangsung malam ini di Dewan Gawir, Kampung Madsiang, Penampang. Menurutnya, jelajah ini menumpukan mesej perjuangan dari kampung ke seluruh Sabah.
Beliau menegaskan bahawa perjuangan hak Sabah bukan dimulakan di pusat bandar, tetapi daripada akar umbi. “Kita dari kampung, mula dari kampung, ke seluruh kampung,” katanya.






