KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) mengingatkan semua bakal calon Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-17 supaya membuat semakan borang pencalonan dan menyelesaikan bayaran deposit lebih awal sebelum Hari Penamaan Calon (HPC) pada 15 November 2025.
Dalam kenyataan media hari ini SPR memaklumkan bahawa HPC PRU DUN Sabah Ke-17 ditetapkan pada 15 November 2025 (Sabtu), dengan tempoh penyerahan kertas penamaan calon dari jam 9.00 pagi hingga 10.00 pagi di 25 Pusat Penamaan Calon di seluruh negeri.
Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, penyerahan boleh dibuat oleh calon, pencadang dan penyokong; mana-mana dua orang daripada mereka; atau salah seorang daripada mereka.
SPR turut menyarankan semua bakal calon agar mengisi borang dan membuat semakan awal dengan Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Sabah sebelum tiba hari penamaan.
Bayaran deposit digalakkan dibuat lebih awal dan resit rasmi pembayaran hendaklah dibawa pada hari penamaan sebagai bukti.
Bagi calon yang mewakili parti politik, SPR menegaskan bahawa surat kebenaran penggunaan simbol parti wajib dikemukakan ketika menyerahkan kertas penamaan calon. Dokumen ini penting bagi mengesahkan penggunaan logo parti yang diwakili dalam kertas undi kelak.
SPR turut mengingatkan bahawa calon yang membayar deposit bahan kempen tertakluk kepada peruntukan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 [Akta 5] serta undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan (PBT).
Sehubungan itu, calon dan parti politik diminta sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan yang dikeluarkan oleh SPR, PBT dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurut SPR, kerjasama dan kepatuhan semua pihak amat penting untuk memastikan proses penamaan calon dapat berjalan dengan baik, lancar dan teratur.






