Rina Pertikai Tindakan PHRS, Dakwa Dihalang Jadi Calon Kukusan

Rina Pertikai Tindakan PHRS, Dakwa Dihalang Jadi Calon Kukusan

0
SHARE

TAWAU: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukusan, Datuk Rina Jainal, mempersoalkan tindakan Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) menggantung jawatan dan keahliannya hanya tiga hari sebelum Hari Penamaan Calon, menyifatkannya sebagai keputusan mengejutkan yang seolah-olah bertujuan menghalang beliau daripada bertanding semula.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Rina berkata penggantungan itu dibuat pada waktu yang mencurigakan dan dilihat seperti satu percubaan terancang untuk menafikan peluang beliau dicalonkan mewakili parti pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah ke-17.

“Saya benar-benar terkejut apabila dimaklumkan mengenai penggantungan ini. Kenapa tiga hari sebelum penamaan calon? Tindakan ini sangat pelik dan seolah-olah ada niat tertentu untuk menyekat saya bertanding,” katanya.

Rina menegaskan bahawa beliau tidak pernah meletakkan jawatan dan kekal aktif menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat sepanjang penggal ini. Beliau berkata apa-apa isu dalaman sepatutnya boleh diselesaikan melalui perbincangan dalam semangat kekeluargaan parti.

Menurutnya, keputusan drastik itu bukan sahaja membangkitkan persoalan dalam kalangan pengundi, malah menjejaskan persiapan jentera Gagasan Rakyat Sabah (GRS) di peringkat akar umbi yang sudah bersedia menghadapi pilihan raya.

“Saya percaya ramai penyokong GRS, terutamanya di Kukusan, kecewa dan keliru dengan keputusan ini. Mereka tahu saya bekerja keras untuk rakyat dan parti. Tindakan seperti ini bukan sahaja mengecewakan, malah kelihatan seperti satu langkah licik untuk menyingkirkan saya menjelang pilihan raya,” ujarnya.

Walaupun berdepan situasi tidak dijangka, Rina menegaskan komitmennya untuk terus memperjuangkan kepentingan rakyat Kukusan. Beliau menyatakan penghormatannya terhadap keputusan parti namun berhak memberikan penjelasan kepada pengundi mengenai perkara sebenar.

“Perjuangan saya tidak berakhir di sini,” katanya.

Rina turut memaklumkan bahawa beliau akan menilai langkah seterusnya selepas mengadakan perbincangan dengan penyokong serta keluarga terdekat dalam masa terdekat.