PUTRAJAYA – Bermula Jumaat ini, pemeriksaan suhu badan sebelum memasuki premis institusi pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak diwajibkan.
Bagaimanapun, orang ramai masih diwajibkan diwajibkan untuk mengimbas kod QR melalui aplikasi MySejahtera ini termasuklah semua guru, anggota kumpulan pelaksana (AKP), pekerja perkhidmatan sokongan dan pelawat.
“Ibu bapa serta penjaga dimohon untuk memastikan anak-anak jagaan berada dalam keadaan sihat dan tidak bergejala sebelum hadir ke sekolah. Ini adalah sebagai langkah keselamatan,” kata KPM menerusi satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, sekiranya murid mempunyai symptom atau ada ahli keluarga yang disahkan positif COVID-19 dan tinggal serumah adalah tidak dibenarkan untuk hadir ke sekolah.
“Tahap kesihatan murid semasa berada di sekolah akan dipantau secara berterusan bagi memastikan murid yang bergejala diasingkan di bilik isolasi untuk tindakan selanjutnya,” kata KPM.
Kementerian itu berkata, peraturan itu juga turut terpakai di semua institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM.
“KPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik,” katanya.
Terdahulu, prosedur operasi standard (SOP) pemeriksaan suhu badan dan buku rekod mendaftar masuk ke mana-mana premis telah dimansuhkan dan akan berkuat kuasa mulai 11 Februari.