KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan negeri telah mengambil tindakan atas dasar keprihatinan untuk membantu nasib bekas pekerja SFI sejak 2019 dan ketika pandemik COVID-19.
Ini termasuk pembayaran gaji mereka dan KWSP dengan yang terkini ialah pembayaran tunggakan bil elektrik bekas pekerja SFI sejumlah RM798,000.
Dalam satu kenyataan hari ini, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Abidin Madingkir berkata, walaupun kerajaan bersimpati dengan nasib mereka, tetapi bukanlah mudah untuk kerajaan negeri secara berterusan menyelesaikan kepayahan mereka untuk jangka masa panjang.
“Pekerja terbabit telah diberhentikan oleh bekas majikan mereka, syarikat pengilang kertas dan pulpa yang berpangkalan di India, Ballarpur Industries Ltd yang kini berada dalam Penerimaan (in Receivership) sejak 2017.
“Sementara menunggu kilang itu beroperasi semula oleh syarikat konsesi baharu, bekas pekerja telah dinasihatkan untuk melihat perkara itu secara realistik, sekali gus untuk mencari pekerjaan alternatif.
“Kerajaan Negeri telah meletakkan syarat bagi syarikat konsesi baharu itu untuk memulakan operasi dalam tempoh dua tahun,” katanya.
Dalam pada itu, Abidin berkata, bekas pekerja boleh memohon untuk bekerja di syarikat baharu.
Selain itu, beliau menambah bahawa Pegawai Daerah Sipitang telah diarahkan untuk menyelaraskan perkara ini dengan bekas pekerja SFI.





