KOTA KINABALU: Ketua Wiramuda pertama STAR, Hasmin Azroy Abdullah, menegur tindakan Jordan Jude Ellron yang meletakkan jawatan sebagai Ketua Exco Wiramuda StarSabah dan Ketua Bahagian Nabawan, sambil mengingatkan bahawa perjuangan politik tidak seharusnya disempitkan kepada soal pencalonan semata-mata.
Hasmin yang juga pengasas konsep “Wiramuda” menegaskan bahawa gerakan itu dibangunkan dengan semangat perjuangan tulen serta prinsip yang kukuh demi memperkasa suara anak muda dalam STAR.
Katanya, beliau sendiri menggubal Peraturan Tetap Wiramuda sebagai teras kepada hala tuju dan struktur organisasi pemuda parti.
Beliau turut mengimbas perjalanan perjuangannya sejak awal, termasuk usaha menjelajah seluruh Sabah untuk membangkitkan kesedaran politik dan hak-hak Sabah di kalangan rakyat.
Menurutnya, pengorbanan tersebut bukan kecil, malah beliau pernah ditahan berjam-jam dalam van polis dan hampir dilokap ketika membantu gerakan SSKM, semuanya demi mempertahankan maruah Sabah, bukan kerana jawatan atau tiket pilihan raya.
Hasmin berkata, beliau juga melepaskan jawatan guru, sebuah kerjaya stabil semata-mata untuk berjuang melalui wadah politik. Jelasnya, walaupun STAR pernah berada dalam kerajaan, beliau tidak pernah mengambil kesempatan untuk kepentingan peribadi, tetapi kekal konsisten memperjuangkan prinsip yang dipegangnya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan Jordan agar tidak bertindak meninggalkan parti hanya kerana tidak dicalonkan, sambil menegaskan bahawa perjuangan politik kadangkala memberi balasan dalam bentuk pengalaman dan kepercayaan, bukan semestinya jawatan. Tindakan mudah kecewa, katanya, hanya akan mengecilkan nilai perjuangan itu sendiri.
Hasmin turut mengingatkan bahawa Presiden STAR, Datuk Dr Jeffrey G. Kitingan, adalah contoh kecekalan perjuangan yang sebenar. Beliau mengharungi detik-detik sukar termasuk ditahan ISA dan bertanding menentang abangnya sendiri demi perbezaan prinsip. “Perjuangan memerlukan keberanian, keteguhan dan keikhlasan, bukan emosi,” tegasnya.
Dalam kenyataan itu, Hasmin meluahkan rasa kecewa terhadap sikap segelintir pemuda STARSabah yang dilihat mudah berputus asa apabila tidak dipilih sebagai calon. Beliau menegaskan bahawa anak muda sepatutnya menjadi tulang belakang dan kekuatan parti, bukan punca persepsi negatif yang merencatkan perjuangan.
Beliau menyeru seluruh ahli dan penyokong STARSabah, khususnya generasi muda, agar kekal berjuang dengan jiwa yang ikhlas dan tidak membiarkan kekecewaan peribadi mencemari perjuangan menegakkan hak Sabah. “Kita berjuang bukan kerana individu, tetapi kerana masa depan Sabah,” katanya menutup kenyataan.






