Lima Rumah Pekerja Musnah Dalam Kebakaran di Inanam

Lima Rumah Pekerja Musnah Dalam Kebakaran di Inanam

0
SHARE

KOTA KINABALU: Lima rumah pekerja jenis tidak kekal musnah dalam kebakaran di kawasan rumah pekerja Gain City Engineering Sdn Bhd, Jalan Bantayan Minintod, Inanam, malam semalam.

Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, PKPgB Noor Sherriyana Bohari, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.34 malam sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, jentera dari BBP Lintas yang terletak kira-kira lapan kilometer dari lokasi tiba di tempat kejadian pada jam 7.45 malam.

“Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati kebakaran melibatkan lima buah rumah kongsi jenis tidak kekal berkeluasan kira-kira 20 kaki x 20 kaki setiap satu yang terbakar sepenuhnya.

Bagaimanapun, tiga lagi rumah berjaya diselamatkan oleh pasukan bomba daripada turut terbakar,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran hos sepanjang 200 kaki dengan tiga pancutan, manakala sumber air diperoleh daripada Water Tanker BBP Kota Kinabalu.

Operasi melibatkan 28 anggota dari BBP Lintas dengan bantuan BBP Penampang dan BBP Kota Kinabalu.

Antara jentera yang digunakan termasuk FRT, LFRT, Water Tanker serta kenderaan utiliti Nissan Navara.

Turut membantu di lokasi ialah agensi lain iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan RELA.

Kebakaran berjaya dikawal pada jam 9.11 malam sebelum dipadamkan sepenuhnya pada jam 9.43 malam.

“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian ini dan operasi pemadaman telah ditamatkan sepenuhnya,” katanya.

Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak bomba.