KUALA LUMPUR: Tiga tahun selepas dipecat daripada UMNO, bekas Ketua Pemuda parti itu, Khairy Jamaluddin kini mengambil langkah untuk kembali menyertai parti berkenaan.
Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau telah menerima sendiri surat rayuan daripada Khairy semasa satu pertemuan semalam.
Menurutnya, permohonan itu akan diserahkan kepada Jawatankuasa Penyatuan Parti yang dipengerusikan oleh Mohamed Khaled Nordin untuk penelitian dan tindakan lanjut.
Terdahulu, Zahid mengumumkan pada 5 Mac lalu bahawa parti itu membuka pintu kepada bekas ahli yang pernah dipecat atau digantung keahlian untuk kembali menyertai UMNO tanpa sebarang syarat.
Inisiatif di bawah gagasan “Rumah Bangsa” itu, katanya, bertujuan menyatukan semula mereka yang pernah terpisah daripada parti.
Pada Januari 2023, Khairy dipecat daripada UMNO, manakala bekas Ketua Bahagian Sembrong Hishammuddin Hussein serta bekas Naib Ketua Pemuda UMNO Shahril Hamdan digantung keahlian.
Turut digantung ketika itu ialah bekas Ketua Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang.
Mengulas mengenai pertemuan berkenaan, Zahid berkata ia mempunyai makna tersendiri dalam usaha menyatukan semula parti melalui inisiatif Rumah Bangsa.
Katanya, gagasan itu menjadi langkah untuk menyambung kembali hubungan yang pernah terputus, merapatkan yang pernah menjauh dan menguatkan semula saf perjuangan parti.






