SANDAKAN: Tiga buah rumah jenis tidak kekal musnah sepenuhnya dalam satu kejadian kebakaran yang berlaku di Kampung Melayu Batu 8 di sini, awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, PKPgB Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 6.17 pagi.
Susulan itu, katanya seramai 13 anggota bomba dikejarkan ke lokasi kejadian sejauh 10 kilometer dari balai dan tiba pada jam 6.30 pagi.
“Sebaik tiba di lokasi, didapati kebakaran melibatkan tiga buah rumah jenis tidak kekal masing-masing berkeluasan kira-kira 20 x 30 kaki, 20 x 30 kaki dan 10 x 15 kaki persegi yang telah terbakar 100 peratus.
“Pasukan bomba segera menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran dua pancutan sepanjang 200 kaki dengan sumber air daripada jentera bomba bagi mengawal kebakaran daripada merebak ke kawasan berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kebakaran berjaya dikawal pada jam 6.46 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.30 pagi selepas pemeriksaan lanjut mengesahkan tiada lagi punca bahaya di lokasi.
“Tiada mangsa dilaporkan cedera atau terlibat dalam kejadian ini dan punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya.
Operasi diketuai oleh PBK I Rosemidian Majid dengan kekuatan 13 anggota membabitkan sebuah Fire Rescue Tender (FRT), sebuah Compact Fire Rescue Tender (CFRT) dan sebuah Water Tanker (W.Tanker).
Turut membantu di lokasi ialah pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).






