KUALA LUMPUR: Drama kepolisan ikonik Gerak Khas kembali dengan Gerak Khas 2.0, menandakan kebangkitan semula francais selepas lima tahun sejak penamatnya pada 2021.
Diterbitkan oleh Sarawak Media Group (SMG) dan Skop Productions di bawah arahan Datuk Dr. Yusof Haslam, siri ini buat julung kalinya disiarkan di TVS, dengan pendekatan lebih kontemporari, skala produksi lebih besar serta naratif yang dekat dengan realiti semasa.
Sejak diperkenalkan pada 1999, Gerak Khas mencatat 20 musim dan 1,054 episod, serta diiktiraf Malaysia Book of Records sebagai drama ‘prime time’ paling lama bersiaran di negara ini.
Gerak Khas 2.0 mengikuti misi berisiko tinggi diketuai DCP Dato’ Helmi bersama Inspektor Anding dalam membanteras sindiket jenayah terancang, termasuk ancaman serangan siber dan kemunculan kumpulan misteri Black Hydra.
Pada masa sama, konflik peribadi dan pengkhianatan dalam pasukan menambah ketegangan cerita.
Siri ini menghimpunkan pelakon lama seperti Yusof Haslam, Hans Isaac dan Erra Fazira, di samping memperkenalkan barisan baharu termasuk Anding Indrawani dan Nabiha Aimi.
Antara pembaharuan utama ialah pemilihan Sarawak sebagai lokasi penting penceritaan, dengan latar Kuching yang memperkayakan visual dan naratif.
Gerak Khas 2.0 akan mula ditayangkan pada 3 Julai 2026 (Jumaat), setiap minggu jam 8.30 malam di TVS serta platform MYTV, Astro, Unifi TV dan aplikasi TVS INSPIRE.






