KOTA KINABALU: Komitmen Sabah terhadap alam sekitar kini melangkaui usaha pemuliharaan semata-mata melalui penggubalan Enakmen Perubahan Iklim dan Tadbir Urus Karbon 2025, yang menjadi tonggak utama ke arah masa depan negeri yang lebih hijau dan mampan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Menurut beliau, undang-undang bersejarah itu bukan sekadar memperkukuh dasar kelestarian, malah memastikan Sabah kekal sebagai peneraju dalam tadbir urus iklim di Malaysia melalui pendekatan yang menyeluruh dan berasaskan keadilan sosial serta hak komuniti.
“Enakmen ini menubuhkan Majlis Tindakan Iklim Sabah sebagai badan pembuat keputusan tertinggi yang memastikan hak karbon kekal milik negeri. Ia turut mewujudkan Pusat Pendaftaran dan Inventori Iklim untuk menjejak projek karbon, serta menubuhkan Dana Iklim Sabah bagi menyokong usaha penyesuaian dan daya tahan komuniti terhadap perubahan iklim,” katanya.
Ucapan Hajiji disampaikan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Norlijah Danin, ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Jantung Hijau Borneo: Memperkukuh Ketahanan Iklim, Pemuliharaan dan Mata Pencarian Lestari di Sabah International Convention Centre (SICC) di sini hari ini.
Ketua Menteri menegaskan bahawa antara aspek paling penting dalam enakmen berkenaan ialah perlindungan terhadap hak pemilik tanah adat dan penduduk asal Sabah.
“Projek karbon di tanah adat hanya boleh dilaksanakan berasaskan rundingan, rasa hormat, dan manfaat bersama. Inilah keadilan iklim sebenar, keadilan, keterangkuman dan kelestarian bergerak seiring,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri telah meminda beberapa undang-undang penting termasuk Ordinan Tanah Sabah bagi mengiktiraf penyimpanan karbon serta mengarusperdanakan tindakan iklim dalam sistem tadbir urus negeri.
Dalam ucapan itu juga, Hajiji menegaskan bahawa komitmen Sabah terhadap Inisiatif Jantung Borneo (Heart of Borneo – HoB) kekal kukuh dan tidak berbelah bahagi.
“Sehingga kini, lebih 27 peratus daripada tanah negeri, kira-kira dua juta hektar telah diwartakan sebagai Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (TPA). Tahun ini, kita akan melangkah lebih jauh dengan rancangan untuk mewartakan tambahan tiga peratus lagi di bawah Seksyen 5A Enakmen Hutan 1968, membawa kita lebih dekat kepada sasaran 30 peratus TPA,” katanya.
Tambahnya, pencapaian ini menggambarkan tekad Sabah untuk mengekalkan hutan yang kaya dengan biodiversiti dan nilai karbon sebagai warisan semula jadi untuk generasi akan datang.
Hajiji turut menyoroti salah satu inisiatif paling transformasi negeri iaitu Projek Sistem Makanan, Guna Tanah dan Pemulihan (FOLUR) yang disokong oleh Global Environment Facility (GEF) serta dilaksanakan oleh UNDP dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sabah.
Projek tersebut meliputi kawasan seluas 2.38 juta hektar di 12 daerah, memberi manfaat kepada lebih 54,000 penduduk, dengan matlamat memastikan sektor pertanian, khususnya kelapa sawit, dapat wujud seiring dengan pemuliharaan hutan dan pemulihan ekosistem.
“Melalui FOLUR, kita menyasarkan untuk meletakkan lebih dua juta hektar tanah di bawah pengurusan lebih baik, memulihkan 150,000 hektar hutan, dan 50,000 hektar tanah pertanian terdegradasi, serta mengelakkan kehilangan 14,000 hektar hutan bernilai pemuliharaan tinggi.
“Secara keseluruhannya, usaha ini mampu menyerap lebih 10 juta tan karbon dioksida setara, menyumbang besar kepada matlamat iklim negara,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan, khususnya Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, atas sokongan berterusan terhadap inisiatif HoB sejak 2009 dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM60 juta kepada Sabah.
“Kerjasama ini mencerminkan keyakinan bersama bahawa melindungi alam semula jadi bukan satu beban, tetapi satu tanggungjawab dan peluang,” katanya.
Hajiji berkata, sebagai pengesahan semula terhadap komitmen Sabah, Jabatan Perhutanan Negeri telah mengemukakan cadangan beberapa projek strategik di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) untuk memperkukuh pengurusan hutan mampan dan ketahanan iklim.
“Ya, masih ada cabaran, daripada memperkukuh keupayaan institusi dan memastikan penguatkuasaan, hinggalah kepada mendapatkan pembiayaan serta memberi kesan nyata di lapangan. Namun dengan kemahuan politik yang kuat, kerjasama komuniti dan tadbir urus yang baik, tiada cabaran yang tidak dapat kita atasi,” katanya.






