Krisis Tenaga: YPNM Sabah Gesa Tindakan Segera Lindungi Rakyat

Krisis Tenaga: YPNM Sabah Gesa Tindakan Segera Lindungi Rakyat

0
SHARE

KOTA KINABALU: Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) Sabah menggesa kerajaan mengambil tindakan segera dan berkesan bagi melindungi rakyat daripada kesan krisis tenaga global yang semakin menekan kos sara hidup.

Pengerusinya, David Chan berkata kenaikan harga bahan api dan elektrik telah meningkatkan kos pengangkutan, makanan serta keperluan harian, selain menjejaskan operasi perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Krisis tenaga global ketika ini memberi tekanan besar kepada ekonomi dan rakyat… akhirnya, beban ini akan ditanggung oleh pengguna, terutama golongan B40 dan M40,” katanya.

Menurutnya, tanpa campur tangan segera, situasi itu boleh memperlahankan pertumbuhan ekonomi serta menjejaskan perbelanjaan pengguna.

Sehubungan itu, beliau menegaskan kerajaan perlu memperkukuh subsidi bersasar, memperketat pemantauan bagi membendung pencatutan, serta memastikan kestabilan bekalan tenaga.

“YPNM Sabah menggesa kerajaan untuk mengambil langkah segera dan berkesan termasuk melindungi golongan rentan serta memastikan bekalan tenaga kekal stabil,” katanya.

Dalam jangka panjang, beliau turut menyeru percepatan peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui, khususnya tenaga solar di Sabah dan Sarawak.

“Krisis ini juga membuka peluang besar kepada Malaysia untuk mempercepatkan peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui bagi mengurangkan kebergantungan kepada pasaran tenaga global,” katanya.