KUALA LUMPUR – Kes demam denggi pada tahun 2021 menunjukkan penurunan sebanyak 70.8 peratus iaitu sebanyak 26,365 kes berbanding 90,304 kes pada tahun sebelumnya.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata rekod tersebut merupakan kes terendah sejak sedekad lalu.
Menurut laporan Bernama, dalam tempoh yang sama, kematian disebabkan demam denggi juga menurun daripada 145 kematian pada 2020 kepada 20 kematian tahun lalu.
“Ini kali pertama Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan kes denggi dan kematian terendah sejak sedekad lalu.
“Faktor utama penurunan kes denggi itu masih belum dapat ditentukan, namun denggi kekal sebagai ancaman kesihatan awam di Malaysia ketika pandemik COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, berdasarkan data yang dikaji dan trend penyakit demam denggi pada tahun-tahun sebelum ini, terdapat lonjakkan kes wabak tersebut setiap empat hingga lima tahun iaitu pada 2010, 2015 dan 2019.
“Jadi, kes demam denggi dijangka meningkat semula pada 2024 atau 2025, dengan insiden dijangkakan lebih tinggi daripada jumlah kes dicatatkan pada 2019,” katanya.
Ujarnya, langkah kesihatan awam terutama pengesanan awal dan pengurusan vektor merupakan faktor kejayaan kawalan denggi di negara ini. Tambahnya, setakat ini belum ada mekanisme berkesan mengatasi virus denggi.
Sejak tahun 1988, negara telah mewartakan penyakit denggi mengikut undang-undang, menambah baik kaedah pemakluman sistem dalam talian iaitu e-Notifikasi dan eDengue, mengenal pasti sistem maklumat penjagaan kesihatan secara digital serta membangun sistem pemetaan risiko bagi memudahkan perancangan aktiviti kawalan vektor di lapangan.
Beliau berkata, Malaysia adalah negara kedua di dunia selepas Australia dari segi aspek pengurusan vektor yang mengendalikan kawalan denggi dengan memanfaatkan kebaikan nyamuk Wolbachia sejak 2019 berikutan penemuan positif daripada kajian tempatan.
Dr Noor Hisham berkata, tidak seperti kebanyakan penyakit berjangkit lain, denggi tidak mempunyai rawatan khusus seperti antivirus.
“Walaupun pada masa ini terdapat vaksin denggi di pasaran, namun Malaysia tidak memenuhi kriteria yang disarankan WHO yang menetapkan kadar seroprevalensi denggi sekurang-kurangnya 80 peratus pada usia sembilan tahun untuk dipertimbangkan di bawah program imunisasi kebangsaan.
“Selain itu, tiada alat domestik yang benar-benar berkesan untuk melindungi masyarakat ketika waktu puncak nyamuk Aedes menggigit, contohnya kelambu, vest dan sebagainya,” katanya.
Bagi perancangan masa depan, beliau berkata, Bahagian Kawalan Penyakit bekerjasama dengan dua rakan kongsi antarabangsa untuk melaksanakan Sistem Amaran Awal, Amaran dan Tindak Balas (EWARS) dan Sistem Ramalan Denggi Berasaskan Satelit Model (DMOSS).
Katanya, kerjasama ini bertujuan meneroka prospek untuk menggabungkan amaran awal dan ciri ramalan sistem pengawasan denggi kebangsaan bagi meningkatkan kesiapsiagaan serta aktiviti pencegahan lebih intensif.
“KKM juga menasihati orang ramai mencegah penularan denggi di peringkat isi rumah termasuk penghapusan tempat pembiakan nyamuk Aedes; perlindungan daripada gigitan nyamuk mengikut kapasiti individu dan mendapatkan rawatan awal jika mengalami simptom demam denggi seperti demam, sakit otot dan sendi, sakit belakang serta ruam,” katanya.





