
BEAUFORT, SABAH – Dewan Perpaduan Datuk Haji Ruslan Muharam (DHRM) Kampung Karangan yang dijangka siap Julai ini bakal memberi manfaat kepada lebih 800 orang penduduk dan kampung sekitarnya.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Ruslan Muharam berkata pembinaan dewan tersebut telah dirancang sejak dua tahun lalu dan akan berfungsi sebagai pusat aktiviti bagi semua lapisan masyarakat serta sekolah-sekolah.
“Dewan ini telah pun kita rancang dua tahun yang lepas dan pada tahun ini kita dapat melaksanakannya di mana kampung ini tidak mempunyai dewan.
“Dewan ini bukan semata-mata untuk masyarakat Kampung Karangan sahaja tetapi ia boleh digunakan oleh kampung-kampung sekitarnya dan juga sekolah-sekolah.
“Kalau kita melihat pembinaan dewan perpaduan yang sudah siap, ia banyak digunakan oleh sekolah-sekolah untuk sukan yang mereka anjurkan.
“Kampung karangan berdekatan dengan Kampung Lumadan dan sekitarnya, kita yakin dewan ini akan dimanfaatkan oleh golong belia kerana jajaran jalan raya ada dan mungkin lebih ramai lagi akan menggunakan dewan ini,” ujar beliau.
Mengulas lanjut, Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan memaklumkan dengan pembinaan dewan terbuka berkenaan dapat melunaskan janji kepada rakyat dalam usaha menyedia prasarana dan mensejahterakan rakyat.
“Dengan adanya pembinaan dewan ini salah satunya dapat menunaikan janji kita kepada rakyat.
“Kedua, kita dapat mensejahterakan rakyat khususnya masyarakat di Kampung Karangan dan sekitarnya dan ketiganya kita dapat menambah satu lagi prasarana yang memang perlu kita bina di kampung ini kerana tidak ada dewan dan ini tentu akan memberi manfaat kepada masyarakat,” jelasnya.
Tambah beliau, pembinaan dewan menerusi peruntukan ADUN berjumlah RM200,000 itu turut dilengkapi kemudahan seperti tandas dan pentas di atas tapak tanah seluas 80 x 50 kaki yang telah diwartakan.
“Untuk dewan jenama Dewan Perpaduan ini yang keempat bagi Zon Weston dan sebentar lagi kita akan ke Kampung Lupak di bawah Zon Gadong untuk pecah tanah dewan seumpama.
“Melalui kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada hari ini, kita ada tujuh dewan seumpama ini iaitu empat di Zon Weston dan tiga di Zon Gadong,” jelasnya.
Ruslan ditemui media selepas menyempurnakan majlis pecah tanah pembinaan Dewan Perpaduan DHRM di sini, pada Selasa. — JABATAN PENERANGAN SABAH