Projek Telibong 2 Fasa 2 Kini Bantu Stabilkan Bekalan Air di KK...

Projek Telibong 2 Fasa 2 Kini Bantu Stabilkan Bekalan Air di KK – Shahelmey 

0
SHARE

KOTA KINABALU: Bekalan air di kawasan bandaraya Kota Kinabalu termasuk Kota Kinabalu Utara kini menunjukkan peningkatan dari segi tekanan dan kestabilan, susulan penyempurnaan kerja pemasangan paip baharu bagi Projek Telibong 2 Fasa 2 pada 14 Julai lalu.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, kerja-kerja pembersihan, pengujian dan pentauliahan telah dilaksanakan dengan lancar sebelum saluran air disambung kepada pengguna.

“Kini, penduduk di sekitar Kota Kinabalu sudah mula merasai tekanan air yang lebih baik,” jelasnya.

Beliau turut menjelaskan bahawa Jabatan Air Sabah sedang menangani secara berperingkat isu paip lama pecah serta melakukan pelarasan masa bagi menstabilkan paras air di tangki simpanan.

“Ini adalah sebahagian daripada proses berterusan yang dilaksanakan bagi memastikan sistem bekalan air lebih cekap dan mampan,” katanya.

Shahelmey berkata demikian ketika ditemui selepas majlis menandatangani perjanjian penajaan rasmi antara Jetama Sdn Bhd dan Sabah FC, di sini pada Isnin.

Sementara itu, mengulas mengenai gangguan bekalan air di Tawau sejak minggu lalu, Shahelmey memaklumkan bahawa ia berpunca daripada penghentian sementara operasi Loji Rawatan Air (LRA) Utara Tawau selepas bacaan amonia melebihi paras selamat.

“Kandungan amonia direkodkan pada 1.4mg/l, melepasi had 0.5mg/l yang dibenarkan. Pencemaran dipercayai berpunca daripada kawasan tadahan sungai yang terjejas oleh penempatan perumahan berhampiran,” jelasnya.

Sebagai langkah segera, lapan lori air telah digerakkan oleh Jabatan Air Sabah bagi membekalkan air bersih kepada penduduk yang terjejas.

Beliau turut memaklumkan bahawa mesyuarat telah diadakan antara Jurutera Jabatan Air Daerah Tawau dan Presiden Majlis Perbandaran Tawau untuk mengenal pasti punca pencemaran serta merangka pelan penyelesaian jangka panjang.

“Saya difahamkan semalam berlaku hujan di Tawau. Kita berharap paras amonia akan turun ke tahap selamat supaya LRA boleh beroperasi semula,” katanya.

Kerajaan negeri memberi jaminan bahawa akses kepada air bersih kekal menjadi keutamaan dan semua langkah segera serta jangka panjang sedang giat dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat.