Pendataan Biometrik Peluang Kedua Kepada Pekerja Asing – Bung

Pendataan Biometrik Peluang Kedua Kepada Pekerja Asing – Bung

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Pekerja asing dan bukan pemastautin dalam negeri diberikan peluang kedua untuk terus bekerja di sini.

Program Khas Pendataan Pekerja Asing dan Bukan Pemastautin Negeri Sabah akan berkuatkuasa bermula dari 3 Februari 2022 sehingga 2 Ogos 2022.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata, sudah tiba masa menyelesaikan isu berpuluh tahun itu.

Smart Sabah Corporation Sdn Bhd (SSC) diberikan hak eksklusif untuk membangun dan mengurus Sistem Pengurusan Bersepadu iaitu pengenalan biometrik keselamatan (cap jari dan muka).

“Pengurusan data yang menyeluruh dan bersepadu ialah penyelesaian masalah pekerja asing di negeri Sabah…

“Saya faham perkara ini akan cuba dipolitikkan pihak-pihak tertentu tapi pada saya sudah tiba masanya ada platform Kerajaan Negeri dan Persekutuan menangani isu ini bersama.

“Kita tidak mahu generasi yang datang menghadapi isu yang lebih besar nanti,” katanya sambil menambah rekod akan dikemas kini pada setiap tahun.

Katanya program tersebut juga untuk memastikan Kerajaan Sabah memiliki data tepat secara ‘real time’ berkaitan pekerja asing bagi tujuan pemantauan, kawalan dan aspek keselamatan negeri.

Beliau berharap agar semua majikan yang mempunyai pekerja asing yang sah, tidak sah, pemastautin dan bukan pemastautin memberikan kerjasama mereka.

“Tarikh menerima permohonan daripada majikan hanyalah dari 3 Februari 2022 sehingga 2 Mei 2022 sahaja dan operasi pendafataran akan berlangsung sehingga Ogos 2022,” katanya.

Beliau berkata pihak kerajaan juga telah mengambil maklum rayuan pemain-pemain industri untuk membenarkan Program Penentukuran Semula Buruh di kalangan pekerja asing dilaksanakan semula agar kekurangan tenaga kerja dapat diatasi dengan segera dan telah bersetuju mengadakan skim latihan.

“Program Khas Pendataan ini akan membolehkan semua pekerja asing tidak sah dari semua sektor dan sub-sektor pekerjaan yang berada di negeri Sabah memohon Pas Lawatan Kerja Sementara daripada Jabatan Imigresen Malaysia Sabah…

“Kerajaan juga memberikan kelonggaran kepada pekerja asing tidak sah untuk pulang ke negara asal masing-masing tanpa dikenakan tindakan undang-undang, dengan syarat mereka tidak melakukan kesalahan jenayah.

“Selepas program khas ini berakhir, majikan-majikan yang masih lagi mengajikan pekerja asing tidak sah akan dikesan dan ditangkap melalui Operasi Penguatkuasaan Bersepadu oleh agensi-agensi penguatkuasaan.

“Tindakan keras akan diambil terhadap mereka yang bersalah,” jelas Bung yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Warga Asing Negeri Sabah.

Pengarah Urusan SSC, Ir. Abdul Aziz Julkarnain berkata, Sabah mempunyai 1.55 juta hektar ladang kelapa sawit berpotensikan RM2 bilion tetapi kekurangan tenaga kerja.

“Ia juga perkara yang baik untuk mengelakkan buruh kanak-kanak, buruh paksa, dan memberikan gaji dan hak sama rata…

“Majikan akan lebih bertanggungjawab terhadap taraf kehidupan mereka,” tambanya.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin selepas kunjungan hormat delegasi Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, baru-baru ini berkata bahawa jumlah keseluruhan PATI dari Filipina dan Indonesia yang berjaya diusir dari Sabah sejak tahun 1990 sehingga 9 Mac 2021 adalah seramai 600,000 orang.