MAHKAMAH TOLAK SAMAN PARTI WARISAN KE ATAS ADUN SEBATIK

MAHKAMAH TOLAK SAMAN PARTI WARISAN KE ATAS ADUN SEBATIK

0
SHARE
ADUN Sebatik Hassan A Gani...

KOTA KINABALU, SABAH – Saman Warisan terhadap ADUN Sebatik Hassan A Gani yang mengumumkan keluar parti itu tahun lalu ditolak Mahkamah Tinggi semalam.

Saman tersebut dikeluarkan bagi mendesak Hassan meletak jawatan sebagai ADUN susulan tindakannya keluar Warisan pada 25 Feb tahun lalu.

Hakim Wong Siong Tung dalam keputusannya berkata seorang wakil rakyat boleh bertindak atas pertimbangannya sendiri dan tidak boleh dihalang secara sah oleh parti atau pengundi.

Katanya, surat peletakan jawatan dan ikrar taat setia ditandangani bersama Warisan sebelum pilihan raya negeri (PRN) Sabah 2020 tidak terpakai dalam undang-undang negara.

“Seseorang wakil rakyat yang dipilih harus bebas untuk bertindak mengikut kemampuannya yang dirasakan terbaik serta tidak seharusnya dikekang oleh undang-undang sama ada kepada partinya atau kepada pengundi atau tertakluk kepada arahan sesiapa sahaja.

“Sebarang pengaturan yang boleh melucutkan kebebasan wakil rakyat yang dipilih itu akan bertentangan dengan dasar awam dan menyalahi undang-undang…

“Hukuman yang sewajarnya bagi wakil rakyat yang dipilih kerana mungkir janji politik adalah pengundi atau pemilih berpeluang mempertimbangkan sama ada untuk mengundi pihak lain pada peluang (pilihan raya) akan datang,” katanya.

Dengan itu, Wong turut mengarahkan Warisan yang diwakili sendiri oleh setiausaha agungnya, Loretto Padua, supaya membayar dengan kos RM5,000 kepada Hassan selaku defendan.

Hassan diwakili oleh Tengku Fuad dan Wilson Chang, manakala Loretto diwakili hakim Goldam Hamid dan Syful Sufyian Sidin.

Hassan yang kini menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) adalah ADUN WARISAN pertama meninggalkan parti itu selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah September 2020.

Tindakan beliau disusuli Datuk Dr Yusof Yaacob (ADUN Sindumin), Datuk Mohamadin Ketapi (Segama), Datuk Peter Anthony (Melalap), Datuk Juil Nuatim (Limbahau) dan yang terbaru Rina Jainal (Kukusan).